GAN (kiri) memberi penerangan kepada Affendi Zahari  (kanan) pada Majlis Penerangan cadangan Flat PKNS Jalan Tun Razak.
GAN (kiri) memberi penerangan kepada Affendi Zahari (kanan) pada Majlis Penerangan cadangan Flat PKNS Jalan Tun Razak.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Flat kepada kondominium mewah. Itu antara tawaran diberikan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dan pemaju sekiranya 258 ketua keluarga di Flat PKNS, Jalan Tun Razak bersetuju memberi laluan pembangunan di kawasan itu.

Pengerusi PKB Datuk Affendi Zahari berkata, sesi taklimat dengan penduduk diadakan semalam bagi menjawab pelbagai isu termasuk andaian perbadanan itu mahu membeli tanah mereka untuk tujuan pembangunan.

“Bagaimanapun, kita sudah memberikan penjelasan sebenar mengenai peranan PKB yang berfungsi sebagai pemudah cara kepada pemilik yang ingin membangunkan tanah mereka.

“Kita menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada pemilik untuk membuat keputusan sama ada mahu berpindah semula ke sini atau kekal di rumah transit disediakan pemaju,” katanya dalam sidang media selepas berucap di sesi Taklimat Cadangan Pembangunan Flat PKNS Jalan Tun Razak semalam.

PKB bersama pemaju, Platinum Victory Development Sdn Bhd akan menaik taraf tujuh blok flat di kawasan itu kepada 800 unit kondominium mewah, pejabat dan hotel setinggi 40 tingkat bernilai RM1 bilion dalam tempoh empat tahun dinamakan projek Razak Platinum.

Affendi berkata, flat berusia 44 tahun itu akan dinaiktaraf sesuai dengan lokasinya yang terletak di segi tiga emas ibu kota.

“Dengan lokasi strategik, PKB mengusahakan untuk memperbanyakkan pembangunan komprehensif dan mengoptimumkan penggunaan ruang selain mencipta imej kawasan Melayu mampu membangun setanding kawasan lain.

“Penerimaan pembangunan di kawasan ini menggambarkan kita sudah bersedia untuk melalui proses peningkatan kualiti hidup,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Platinum Victory, Gan Yu Chai berkata, pihaknya sudah menyediakan tiga kaedah pampasan kepada penduduk yang bersetuju memberi laluan kepada pembangunan di flat berkenaan.

“Kita akan membayar pampasan antara RM380,000 hingga RM600,000 berdasarkan keluasan rumah dalam hak milik strata atau sebuah unit kondominium di Setapak, Sentul, Gombak dan kembali semula di kawasan sama dengan unit kondominium dua kali ganda besar daripada saiz asal.

“Ketika projek menaik taraf dijalankan, penduduk akan ditransitkan di kondominium di Setapak dalam tempoh empat tahun dengan dibekalkan kos pemindahan keluar dan masuk sebanyak RM10,000 berserta wang peralatan asas RM3,000,” katanya.

Menurutnya, bergantung kepada pemilik sama ada mahu berpindah semula ke Razak Platinum (Flat PKNS) atau menerima wang pampasan dan sebuah kondominium disenaraikan.

“Sebaik projek ini selesai, kita akan simpan 258 unit kondominium berkenaan kepada penduduk di sini, selebihnya kita akan jual dengan harga sekitar RM1 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:15 AM