DR Ahmad Zahid (kanan) pada perasmian Sesi Taklimat Khas Tahap Keselamatan kepada Perwakilan Asing.
DR Ahmad Zahid (kanan) pada perasmian Sesi Taklimat Khas Tahap Keselamatan kepada Perwakilan Asing.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kerajaan merasakan rakyat perlu mengetahui situasi sebenar isu keganasan di negara ini biarpun sedar ada segelintir pihak menganggap kempen kesedaran keganasan itu sebagai satu langkah politik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk menyembunyikan apa-apa maklumat dan situasi keganasan di negara ini kerana rakyat perlu tahu kedudukan sebenar.

Beliau berkata, kempen kesedaran keganasan sudah dilakukan di pelbagai peringkat namun, masih ada pihak merasakan ia satu gimik politik dengan menganggap kerajaan cuba mengubah sesuatu isu kepada isu membabitkan keganasan.

“Saya ingin maklumkan bahawa ancaman oleh Daish adalah benar dan rakyat harus tahu mengenai ancaman ini.

“Kami tidak mahu mana-mana individu di negara ini menjadi mangsa justeru, semua agensi penguatkuasa dikerah untuk mengambil serius mengenai ancaman dikeluarkan kumpulan pengganas itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Khas Tahap Keselamatan kepada Perwakilan Asing, semalam.

Katanya, beliau ingin menegaskan bahawa tiada langkah politik dalam soal keselamatan malah, keselamatan juga ‘buta warna’.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga tiada mahu wujud tafsiran berbeza dalam soal memaklumkan perkembangan terkini mengenai tahap keselamatan negara.

Mengulas mengenai permintaan perwakilan asing di Malaysia yang mahu kerajaan mengemaskini tahap keselamatan di negara ini, Ahmad Zahid berkata, pihaknya bersedia untuk memaklumkan kepada perwakilan asing setiap dua minggu sekali.

Namun, katanya, beberapa siri perbincangan perlu dilakukan bagi memastikan maklumat yang perlu dikemaskinikan kepada mereka.

“Dalam hal ini, kami tidak mahu tafsiran berbeza oleh perwakilan asing. Kami di Kementerian Dalam Negeri amat serius dalam soal menangani dan membanteras jenayah keganasan supaya mereka (perwakilan asing) tahu mengenai kedudukan keselamatan di negara ini.

“Kami akan menyediakan maklumat itu kepada mereka namun, akhirnya bukan soal kekerapan untuk dimaklumkan sebaliknya sebaliknya jenis maklumat yang perlu didedahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:35 AM