LOKASI kejadian serangan berkumpulan penjenayah yang menetak dan melepaskan tembakan di Seksyen 16, Shah Alam.
LOKASI kejadian serangan berkumpulan penjenayah yang menetak dan melepaskan tembakan di Seksyen 16, Shah Alam.
Icka S Hassan


Shah Alam: “Saya hanya mampu menjerit Allahuakbar sekuat hati selepas terasa kepala ditetak objek tajam,” kata lelaki berusia 50-an yang menjadi mangsa keadaan apabila ditetak sebelum ditembak sekumpulan penjenayah di Pangsapuri Kem Rimba, Seksyen 16, di sini, pagi kelmarin.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Razali berkata, dia tidak menyangka hasratnya untuk memeriksa keadaan keretanya bertukar tragedi apabila diserang penjenayah.

“Selepas memeriksa kereta saya dapat rasakan kepala ditetak manakala pandangan mula kabur.

“Pada masa sama, saya dapati penjenayah hendak menghayunkan senjata tajam seperti parang ke arah kepala saya tetapi saya sempat menepis dan menggenggam tangannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Shah Alam, di sini, semalam.

Menurut Razali, dia terdengar penjenayah yang menetak kepalanya meminta pertolongan rakan jenayah supaya membantunya melepaskan diri.

“Rakannya menembak belakang pinggang menyebabkan saya rebah di kereta dan melepaskan tangan penjenayah yang saya genggam,” katanya.

Razali kini stabil namun masih tidak dibenarkan keluar daripada hospital.

Dalam kejadian jam 3 pagi, tiga mangsa yang juga penduduk pangsapuri berkenaan diserang suspek yang tidak berpuas hati selepas perbuatan seorang daripada mereka mencuri motosikal di kawasan berkenaan disedari penduduk.

Razali ditembak di pinggang selain ditetak di kepala, mangsa kedua yang berusia 66 tahun juga ditetak di kepala manakala mangsa ketiga yang juga lelaki berusia 22 tahun parah di kaki kanan akibat dilanggar kereta dinaiki suspek.

Ketiga-tiga mangsa dirawat di hospital sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 9:33 AM