Hafiz Ithnin dari Ladakh dan India

Dari kedudukan Kem Induk Stok Kangri di paras 5000 meter begitu jelas kelihatan puncak Stok Kangri yang berketinggian 6,153 dalam kalangan peserta Ekspedisi Pendakian Gunung Stok Kangri, India untuk misi ‘Climb for Peace, Water for Syria’.

Malah, kem induk itu juga menjadi destinasi penting bagi semua peserta membuat persiapan terakhir bagi menawan puncak Stok Kangri yang dijadualkan bermula jam 12 tengah malam memandangkan mengikut juruarah untuk sampai ke puncak berkenaan akan mengambil masa begitu panjang melebihi 17 jam mengikut kekuatan fizikal dan mental masing-masing.

Sekitar jam 11 malam, semua peserta dikejutkan untuk menyiapkan pelbagai peralatan teknikal yang perlu antaranya ‘crampon’ dan ‘summit boot’ untuk digunakan ketika mendaki ke puncak pada awal pagi nanti.

Sememangnya apa yang dikatakan oleh juruarah ekspedisi ini benar apabila setiap peserta perlu melalui jalan menaik dan mencanak sekitar lima jam pendakian sebelum menemui jalan mendatar yang berbatu berhampiran glasier yang mana dari sini, kedudukan puncak Gunung Stok Kangri begitu jelas kelihatan.

Persekitaran sejuk sekitar lima darjah celsius dan tekanan udara yang tipis menjadi peneman perjalanan kami sehingga tiba di ‘crampon point’ iaitu lokasi untuk peserta mula memakai peralatan teknikal untuk meneruskan perjalanan ke puncak.

Dari ‘crampon point’ kelihatan jalan pendakian lebih mencabar kerana bentuk mula buminya seakan-akan gelungsur dan sekitar lima meter terakhir berbentuk seperti 45 darjah yang sememangnya memerlukan langkah berhati-hati.

Sebaik tiba di lokasi akhir pendakian di ‘crampon point’ hanya tinggal kurang lapan peserta pendakian saja yang berada di lokasi berkenaan. Selebihnya kehabisan tenaga kerana terlalu letih dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan dan ketika itu sudah menunjukkan jam 1 petang.

Sekitar jam 2.30 petang waktu tempatan, penulis diberitahu hanya tiga peserta saja yang berjaya menawan puncak Stok Kangri iaitu Zainudin Lot, 40, yang juga penasihat KJA-M, Azmawi Ismail, 38, dan Muhamad Aliff Abdullah, 29.

Ternyata pendakian bagi menawan puncak Stok Kangri berketinggian lebih 6,000 meter dari aras laut ini bukan sesuatu yang mudah walaupun ia dikatakan antara yang termudah dalam kalangan gunung di Banjaran Stok, India.

Walau bagaimanapun pendakian yang membawa agenda kemanusiaan antarabangsa ini perlu dipuji kerana peserta yang menyertainya terdiri daripada pelbagai latar belakang dan organisasi.

Sejajar dengan misi ekspedisi ini, orang ramai yang ingin menyumbang untuk projek membina telaga air bersih di Syria boleh terus menyalurkan dana ke akaun Maybank Aman Palestin 562263010787.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:50 AM
PESERTA dan penunjuk arah sejurus selepas menawan Gunung Stok Kangri, India.
PESERTA dan penunjuk arah sejurus selepas menawan Gunung Stok Kangri, India.