PENIAGA menjual ayam kepada pelanggan dengan harga mahal kerana sudah ditetapkan pemborong.
PENIAGA menjual ayam kepada pelanggan dengan harga mahal kerana sudah ditetapkan pemborong.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ayam sakit pada musim perayaan terus menjadi alasan utama pemborong untuk menaikkan harga bahan kawalan itu.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Sentul dan Chow Kit mendapati harga ayam yang dijual masih tinggi iaitu antara RM9.50 hingga RM12 sekilo manakala pasar raya besar pula antara RM8.70 hingga RM9 sekilo.

Harga berkenaan masih lagi tinggi berbanding sebelum perayaan dan tidak menunjukkan tanda penurunan berikutan pemborong sudah menetapkan harga berkenaan sejak awal lagi.

Masalah itu diakui peniaga ayam Mohamad Saiful Ahmad, 38, yang menyatakan kebanyakan pemborong menggunakan alasan ayam sakit menyebabkan stok bahan mentah itu menghadapi masalah.

“Oleh itu, mereka perlu menaikkan harga bahan mentah berkenaan kerana stok yang terhad dan sebagai peniaga peningkatan itu menyebabkan ada antara pelanggan bising.

“Mungkin harga akan kembali stabil untuk tempoh dua minggu lagi namun setakat ini masih lagi tinggi daripada sebelum ini,” katanya.

Peniaga ayam Shamsul Baharom Jasra,40, berkata, harga ayam melambung tinggi tidak dapat dielakkan berikutan pembelian secara pukal oleh orang ramai.

“Kami perlu mengikut harga yang dijual pemborong dan situasi berkenaan berlaku setiap tahun sejak saya menjual ayam 10 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Perunding Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Dr Abd Rahman Md Saleh berkata, permintaan tinggi dan bekalan tidak mencukupi menyebabkan harga ayam meningkat.

Beliau berkata, ayam sakit adalah perkara biasa dan masalah itu tidak menjejaskan bekalan ayam terutama pada musim perayaan.

“Permintaan bekalan ayam pada hari biasa adalah dalam sekitar 2 juta ekor sehari dan mengalami peningkatan 300,000 ekor apabila menjelang musim perayaan.

“Setakat ini, bekalan yang ada boleh menampung permintaan daripada pelanggan cuma harga akan meningkat daripada kebiasaan dan akan kembali pulih dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 9:52 AM