SENJATA yang dijumpai dalam kereta sewa suspek.
SENJATA yang dijumpai dalam kereta sewa suspek.
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Ahli kongsi gelap Geng 08 mengganas apabila dikesan melakukan jenayah rompakan bersenjatakan parang dan pistol.

Dalam kejadian terbaru jam 7 petang kelmarin, dua ahli kumpulan itu memukul seorang mangsa sebelum bertindak melakukan rompakan di Taman Mutiara Puchong di sini.

Sumber berkata, dua penjenayah berusia 30-an itu bertindak menyerang seorang lelaki di halaman rumahnya dengan memukul mangsa menggunakan kayu.

Menurutnya, suspek yang menaiki kereta model Proton Gen 2 itu membelasah kaki dan tangan mangsa berulang kali.

“Sebaik mendapati mangsa dalam keadaan lemah, kedua-dua suspek menceroboh masuk ke dalam rumah dan mencuri barangan berharga milik mangsa.

“Suspek melarikan empat telefon pintar, dua jam tangan berjenama, kad pengeluaran wang automatik (ATM), wang tunai sebanyak RM500 dan sebuah kereta model Toyota Caldina,” katanya yang memaklumkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Puchong di sini.

Bagaimanapun tindakan cekap polis membolehkan salah seorang suspek ditahan dalam serbuan dijalankan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang diketuai Inspektor Nor Aisyah Shasriman, semalam.

“Dalam serbuan itu, suspek ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Puchong Indah, di sini. Pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun berkumpulan.

“Hasil soal siasat mendapati lelaki itu adalah ahli Geng 08 dan aktif menjalankan kegiatan samun kenderaan di sekitar Puchong di sini,” katanya.

Menurutnya, pihak polis berjaya menemui sebuah kereta Proton Gen 2 yang disewa untuk digunakan bagi kegiatan samun itu.

“Pemeriksaan terhadap kereta itu menemui empat parang dan dua kamera litar tertutup (CCTV). Namun, objek menyerupai pistol berkenaan tidak ditemui dalam kenderaan itu,” katanya.

Suspek bersama semua barangan dirampas dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Usaha mengesan seorang lagi suspek dalam kes berkenaan kini sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:52 AM