Dua  rumah terbakar di Taman Sibiew, Bintulu.
Dua rumah terbakar di Taman Sibiew, Bintulu.
myMetro

Bintulu: Seorang wanita melecur di kaki ketika menyelamatkan empat anak saudaranya berusia lima tahun sehingga 10 tahun dalam kebakaran di Taman Sibiew di sini, jam 12.10 tengah hari semalam.

Wanita berusia 40-an itu nekad masuk semula ke rumah yang terbakar apabila menyedari empat anak saudaranya masih berada di dalam kediaman berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Di Hata Gobel berkata, kecederaan mangsa bagaimanapun tidak serius.

“Keempat-empat anak saudara mangsa juga tidak cedera. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan. Seorang lelaki berusia 50-an turutdi bawa ke hospital sama selepas pengsan akibat kejadian itu.

“Lelaki terbabit tinggal berdekatan rumah yang terbakar. Dia mungkin pengsan akibat terhidu asap selain faktor kesihatan,” katanya.

Di Hata berkata, dalam kejadian itu, dua rumah terbakar dengan sebuah daripadanya terbakar 80 peratus manakala sebuah lagi 15 peratus.

Lapan penghuni dua rumah terbabit terjejas akibat kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:33 AM