SUKARELAWAN pelajar Malaysia yang menyertai Kempen Sukarelawan Musim Panas Hijau ASEAN 2016.
SUKARELAWAN pelajar Malaysia yang menyertai Kempen Sukarelawan Musim Panas Hijau ASEAN 2016.
SUKARELAWAN meratakan simen batu kerikil bagi menyiapkan jalan.
SUKARELAWAN meratakan simen batu kerikil bagi menyiapkan jalan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Ilmu dimiliki penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang kejuruteraan awam dikongsi dengan menggunakan kemahiran mereka membina jalan di tiga perkampungan di Vietnam.

Ia dilakukan dalam Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Kempen Sukarelawan Musim Panas Hijau ASEAN 2016 yang bermula pada 9 Julai lalu hingga 15 Ogos depan.

Dalam misi terbabit, sukarelawan siswa YSS bersama sukarelawan dari Vietnam menjalankan kegiatan berasaskan konsep ‘immersion’ iaitu mendalami budaya dan kehidupan masyarakat setempat.

Ketua Unit Persediaan Misi berkenaan, Wong Kin Lun berkata, jalan terbabit dalam program itu ialah Long Thoi Commune, Nhon Duc Commune dan Tan Thong Hoi Commune, Vietnam.

Katanya, jalan berukuran 150 meter panjang dengan kelebaran tiga meter itu dibina secara berperingkat dan ada jalan yang hampir 80 peratus siap pembinaannya.

“Kita tidak tahu kos sebenar membina jalan ini kerana ditanggung sepenuhnya kerajaan Vietnam.

“Kami difahamkan, pihak terbabit tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk membayar upah pekerja bagi tujuan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, YSS mengambil peluang untuk melakukannya sebagai tanggungjawab sosial bagi membantu kerajaan Vietnam menyediakan kemudahan infrastruktur yang sempurna kepada rakyatnya.

“Sebelum ini, jalan berkenaan hanya laluan seperti dalam kebun yang dipenuhi lalang.

“Kita terlebih dulu membersihkan kawasan berkenaan sebelum membina jalan ini bagi memudahkan kira-kira 1,000 penggunanya setiap hari,” katanya.

Katanya, program berkenaan sudah diadakan sejak 23 tahun lalu, tetapi baru tahun keempat YSS menyertainya.

Wong berkata, dalam misi itu peserta yang mengikuti pengajian perubatan turut membuat pemeriksaan kesihatan untuk penduduk di kawasan berkenaan terdiri daripada warga emas, kanak-kanak dan dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:34 AM