GELANDANGAN memilih pakaian yang diagihkan oleh SALAM di ibu kota.
GELANDANGAN memilih pakaian yang diagihkan oleh SALAM di ibu kota.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sebut saja gelandangan pasti menggambarkan individu yang kotor, tidak terurus, penagih dadah dan kutu-rayau dengan mereka kebanyakannya berpeleseran di tengah kota mengharapkan belas ihsan masyarakat.

Ada antara mereka sudah menghuni bandar raya ini lebih 10 tahun dengan menjadikan kaki lima, bawah jambatan dan tepi jalan sebagai rumah mereka berteduh daripada panas serta hujan.

Kehidupan mereka yang boleh dikatakan misteri itu menyebabkan segelintir masyarakat memandang hina, malah menganggap mereka merosakkan suasana ibu kota serta mencacatkan pemandangan di mata pelancong asing.

Namun jika menelusuri kehidupan gelandangan yang rata-ratanya lelaki berusia lingkungan 20 hingga 60-an ini pasti terkejut kerana hanya 10 peratus saja yang mengemis dengan mengharapkan simpati orang ramai.

Perkara itu diakui seorang gelandangan Mohd Yassin Nasrul, 50, berasal dari Meru, Klang, yang sudah berpeleseran di bandar raya ini sejak 10 tahun lalu dan tidak pernah meminta sedekah daripada orang ramai.

Yassin berkata, dia hanya mengutip barang buangan seperti kotak, tin dan botol sebagai sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan.

“Cuma wang hasil daripada mengutip barang buangan itu tidak mencukupi untuk menyewa rumah dan membeli barangan keperluan lain menyebabkan saya mengambil keputusan berteduh di kaki lima saja,” kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Menurutnya, stigma masyarakat melihat gelandangan golongan jijik yang terbabit dalam penagihan dadah, sekali gus menyebabkan mereka terus memencilkan diri daripada bergaul dengan orang ramai.

“Kami pun ada hati dan perasaan cuma nasib tidak sebaik insan lain namun golongan gelandangan seperti saya tetap berusaha mencari rezeki sendiri tanpa mengharapkan ihsan orang lain apatah lagi mencuri.

“Mungkin ada yang terbabit dadah atau jenayah lain namun itu hanya sebahagian kecil saja kerana kebanyakan gelandangan mempunyai pekerjaan sendiri cuma tidak mampu menyewa rumah atau bilik,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Ahmad, 30, berasal dari Alor Setar, Kedah mengambil keputusan meneruskan kehidupan sebagai gelandangan kerana mempunyai masalah dengan ahli keluarga lain.

“Ahli keluarga menganggap saya tidak berguna kerana mungkin sering menyusahkan mereka menyebabkan mengambil keputusan berhijrah bagi meneruskan kehidupan.

“Walaupun kehidupan gelandangan dipandang hina, ia sebenarnya memberikan kita kekuatan untuk berdikari tanpa mengharapkan belas ihsan orang ramai,” katanya ketika ditemui.

Ahmad berkata, mujur ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Salam Malaysia (SALAM) yang sentiasa menghulurkan bantuan dengan mengagihkan makanan serta pakaian kepada gelandangan.

“Mereka merangka pelbagai aktiviti untuk gelandangan supaya dapat berdikari dan mencari sumber pendapatan bagi mengubah kehidupan masing-masing.

“Malah, SALAM juga ada menyediakan premis untuk golongan gelandangan menumpang malah mereka juga mencarikan pekerjaan untuk kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 9:32 AM