Aizat Sharif

Arau: Cubaan dua lelaki melarikan bekalan ayam menggunakan lori lapan tan gagal apabila berjaya dipatahkan oleh seorang penjaga reban ketika melakukan pemeriksaan di ladang ternakan ayam di Kok Mak, Padang Besar pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 2 petang, lelaki berkenaan, Tan Wah Bang, 51, melakukan rondaan pemeriksaan terhadap ayam yang berada dalam reban itu.

Pengurus Operasi ladang ternakan ayam berkenaan, Tan Hwa Seng, 44, berkata, pada mulanya abangnya menyangka dia menghantar lori berkenaan untuk mengambil bekalan ayam.

Menurutnya, abangnya pelik apabila pemandu dan kelindan lori berkenaan berdalih dengan mendakwa disuruh oleh ‘tauke’ mereka dikenali sebagai Ah King untuk membawa ayam terbabit ke Kelantan.

Katanya, akibat tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, abang menghubunginya dan memaklumkan tiada sebarang permohonan kemasukan lori di ladang berkenaan diterima.

“Abang saya mengesyaki sesuatu yang tidak kena sedang berlaku lalu menghubungi polis sambil menutup pintu ladang ternakan ayam berkenaan untuk memastikan lori terbabit tidak boleh keluar.

“Polis yang tiba kemudian menahan kedua-dua lelaki dan membawa mereka ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya yang membuat laporan kejadian di Balai Polis Padang Besar pada hari sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar Deputi Superintendan Razak Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 9:55 AM
LORI yang ditahan dalam cubaan mencuri ayam dari ladang ayam Sin Lean Soon Farm di Kok Mak.
LORI yang ditahan dalam cubaan mencuri ayam dari ladang ayam Sin Lean Soon Farm di Kok Mak.