ISMA (dua dari kanan) menyerahkan Kotak Rezeki kepada pengayuh beca.
ISMA (dua dari kanan) menyerahkan Kotak Rezeki kepada pengayuh beca.
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: “Ramadan bulan rezeki dan hari ini datang pula Kotak Rezeki yang disumbangkan Harian Metro (HM),” kata Wahab Abdul Rahman, 71, pengayuh beca di bandar raya Kuala Terengganu ketika ditemui menerusi Program #HMKotakRezeki 2016, semalam.

Dia bersyukur dengan setiap pemberian oleh mana-mana pihak, malah konsep yang dilakukan HM itu tidak pernah dilakukan mana-mana agensi dan ia satu langkah wajar dicontohi.

“Kotak Rezeki ini berguna terutama kepada pengayuh beca seperti saya kerana apabila lewat pulang maka bekalan makanannya boleh digunakan untuk berbuka puasa,” katanya.

Rakannya, Senun Said, 70, berkata, idea dan konsep yang baik dengan mengagihkan kotak berisi makanan seperti ini memudahkan penerima menggunakannya.

“Terima kasih kerana masih ada yang sudi menghulurkan sumbangan dan program seperti ini boleh diteruskan dari semasa ke semasa dan tidak hanya tertumpu pada Ramadan saja.

“Mungkin untuk sambutan perayaan bagi bangsa lain juga boleh dipraktikkan dengan menggunakan cara yang sama,” katanya.

Sebelum itu, 20 Kotak Rezeki mengandungi pek makanan diserahkan Ketua Biro HM Terengganu Isma Ismail kepada pengayuh beca di sekitar bandar ini.

Sebanyak 11,000 kotak #HMKotakRezeki diagihkan ke seluruh Semenanjung bermula pada 20 Jun lalu.

Program itu satu inisiatif berterusan tanggungjawab sosial korporat (CSR) HM bagi membantu golongan memerlukan sesuai dengan slogan sambutan ulang tahun ke-25 akhbar ini iaitu Menyelami Jiwa Masyarakat.

Penaja utama program itu adalah Affin Bank dan Affin Islamic Bank selain mendapat kerjasama Wan Chan Consolidated, Comfort, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, The Italian Baker Sdn Bhd, Yeo’s, Tupperware Brands Sdn Bhd serta rakan kurier Pos Laju.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:23 AM