TINJAUAN udara bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat sempena Op Raya 2016 di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Tanjung Malim.
TINJAUAN udara bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat sempena Op Raya 2016 di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Tanjung Malim.
Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Dianggarkan hampir satu juta kenderaan milik warga kota yang pulang beraya keluar dari ibu negara menggunakan beberapa lebuh raya utama menghala ke utara, timur dan selatan tanah air.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, jumlah itu diramalkan meningkat pada hari ini dan berkemungkinan sesak secara berperingkat di beberapa lokasi tumpuan.

“Beberapa kawasan di bahagian utara seperti Slim River-Sungkai, Tapah-Gopeng, kawasan Terowong Menora dan Kuala Kangsar dijangka sesak esok (hari ini).

“Selain itu, laluan Gombak-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) serta lebuh raya ke negeri selatan juga dijangka sesak meskipun hari ini (semalam) keadaan trafik terkawal sehingga jam 6 petang.

“Sepanjang musim perayaan ini, laluan Lebuhraya Utara-Selatan dianggarkan dilalui sebanyak 1.6 juta kenderaan sehari,” katanya kepada Metro Ahad.

Katanya, LLM menasihatkan pengguna lebuhraya supaya merancang perjalanan di samping mematuhi arahan trafik menerusi Jadual Cadangan Waktu Puncak Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan pihak PLUS Malaysia Berhad.

“Selain itu, pengguna dilarang menggunakan lorong kecemasan apabila berlaku kesesakan trafik bagi mengelak diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, pengguna lebuh raya yang memerlukan sebarang bantuan atau maklumat perjalanan boleh menghubungi talian Pusat Pengurusan Trafik LLM yang beroperasi 24 jam di talian 1800887752.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:13 AM