MANGSA ditinggalkan keseorangan di hentian bas di ibu kota.
MANGSA ditinggalkan keseorangan di hentian bas di ibu kota.
Nurul Hidayah Bahaudin 

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai sengaja dibuang keluarganya di kawasan hentian bas di ibu kota.

Ini terbukti apabila mangsa yang ditemui merayau di situ pada 3 Jun lalu masih tidak dituntut oleh sesiapa sehingga kini.

Susulan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memohon kerjasama orang ramai mengesan ibu kandung serta ahli keluarga kanak-kanak malang itu.

Mangsa dianggarkan berusia lapan tahun itu dirujuk kepada JKM oleh anggota polis selepas ditemui orang ramai berlegar-legar berseorangan di Pudu Sentral, di sini.

Pegawai Pelindung JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Azizul Rahaman Zabidin berkata, ketika ditemui kanak-kanak terbabit didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Mangsa yang memperkenalkan diri sebagai Aiman memakai baju kemeja mempunyai lambang Upin Ipin dan seluar pendek berwarna merah.

“Usaha mendapatkan maklumat ibu kandung atau warisnya berdepan kesukaran berikutan kanak-kanak itu tidak mahu bercakap,” katanya, semalam.

Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur memerintahkan kanak-kanak terbabit ditempatkan di bawah perlindungan JKM mengikut Perintah Jagaan Sementara mengikut Seksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 6 Jun lalu.

Azizul berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenaiibu kandung atau waris Aiman supaya segera memaklumkannya kepada JKM.

“Orang ramai boleh menghubungi saya di talian 03-26124000 sambungan 4128 dan 012-6329124 atau hubungi mana-mana pejabat JKM berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:53 AM