NAJIB  meluangkan masa menyampaikan sumbangan raya kepada orang ramai  di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.
NAJIB meluangkan masa menyampaikan sumbangan raya kepada orang ramai di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.
Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengajak umat Islam supaya bersama-sama mencari keberkatan Lailatulqadar menjelang berakhirnya Ramadan ini.

Perdana Menteri berkata, Lailatulqadar menjanjikan pahala berlipat ganda atas segala amalan yang dilakukan di samping mendapat keampunan daripada Allah SWT.

“Saya ingin mengingatkan kita semua termasuk diri saya bahawa Ramadan adalah bulan di mana kita beribadat, manakala Aidilfitri adalah hari meraikan kejayaan kita beribadat sepanjang Ramadan,” kata beliau dalam rakaman Ucapan Perdana Menteri Mengenai Malam-Malam Terakhir Ramadan Dan Syawal Yang Bakal Tiba disiarkan di blog peribadinya NajibRazak.com, semalam.

Najib berkata, umat Islam kini berada pada malam-malam terakhir Ramadan dan Syawal menjelang tiba.

Beliau percaya ramai antara rakyat beragama Islam mula berasa teruja untuk pulang beraya di kampung.

“Pada masa ini, tentunya ada yang sudah memulakan perjalanan pulang ke kampung. Berhati-hatilah di jalan raya.

“Kita ingin sampai ke destinasi dengan selamat, biarlah ibu bapa atau datuk dan nenek dapat menerima kita di kampung dalam keadaan ceria,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menarik perhatian dengan mengambil peluang memperingati pasukan keselamatan negara yang tidak dapat meraikan hari perayaan bersama keluarga mereka.

Kata beliau, mereka kini sedang berkhidmat di serata tanah air bagi memastikan rakyat Malaysia selamat menjalani ibadat puasa dan Aidilfitri dalam keadaan aman dan harmoni.

“Amat besar jasa mereka, dan kita rakyat Malaysia memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka. Mudah-mudahan amalan kita diberkati dan kita dapat beraya dengan penuh kegembiraan pada 1 Syawal ini,” kata beliau lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:26 AM