Shamsuddin menunjukkan ayam   ternakannya  yang mati akibat lemas gara-gara bekalan elektrik terputus,  kelmarin.
Shamsuddin menunjukkan ayam ternakannya yang mati akibat lemas gara-gara bekalan elektrik terputus, kelmarin.
Ravale Savarinathan

Teluk Intan: Pengusaha ladang ternakan ayam di Chenderung Balai, kerugian lebih RM500,000 apabila 37,000 ayam ternakannya mati kepanasan malam kelmarin, akibat kawasan ladang berkenaan terputus bekalan elektrik selama beberapa jam.

Semua ayam daging berkenaan yang menunggu masa untuk dipasarkan pada Aidilfitri ini gagal diselamatkan walaupun pengusaha berkenaan cuba menghidupkan penghawa dingin di reban itu dengan menggunakan generator kecil.

Pengurus Nur Rich Agro, Shamsuddin Ibrahim, 42, yang mengusahakan ternakan ayam berkenaan berkata, pihaknya terpaksa berputih mata melihat semua 37,000 ayam ternakan itu mati lemas selepas bekalan elektrik terputus sejak jam 10.40 pagi, kelmarin.

Menurutnya, ladang ternakan itu memerlukan penghawa dingin yang berterusan untuk perlindungan ayam ternakan, namun kelmarin bekalan tiba-tiba terputus dan pihaknya tidak mendapat sebarang notis pemberitahuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sebaik saja bekalan terputus, saya menghidupkan generator kecil yang dikhaskan untuk menghidupkan penghawa dingin buat sementara waktu sehingga bekalan disambung, namun sehingga petang bekalan masih tidak disambung dan tenaga daripada generator itu memang tidak mampu menampung keseluruhan reban ayam yang ada.

“Bermula jam 3 petang semalam (Ahad), saya mula dapati beberapa ekor ayam sudah lemah kerana kepanasan dan saya cuba menghubungi pihak TNB, tetapi amat mengecewakan apabila diberitahu bekalan elektrik di kawasan ini akan terganggu dari pagi hingga jam 7 malam,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan berkenaan malam kelmarin.

Menurutnya, menjelang malam, semua ayam berkenaan sudah mati dan pihaknya terkejut dengan keadaan itu kerana kebiasaannya jika terdapat gangguan bekalan elektrik bagi tempoh masa yang lama, pihaknya akan menerima notis pemberitahuan, namun tiada sebarang notis diberikan.

“Kejadian ini tidak sepatutnya berlaku kerana pihak TNB seharusnya memaklumkan mengenai gangguan ini terlebih dulu bagi memudahkan kami menyewa generator yang sesuai sama ada daripada pihak persendirian atau TNB sendiri.

“Susulan tiada notis pemberitahuan, kami alami kerugian yang besar kerana kematian semua ayam ternakan serta tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan pada musim perayaan ini,” katanya.

Katanya, sehubungan itu, satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Labu Kubong, di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 9:28 AM