ANTARA peralatan seperti tin cat dan sarung tangan yang dirampas daripada suspek.
ANTARA peralatan seperti tin cat dan sarung tangan yang dirampas daripada suspek.

Kuala Lumpur: Gatal tangan. Itu gambaran terhadap tindakan seorang artis grafiti warga Belanda yang cuba menconteng serta merosakkan tren Transit Aliran Ringan (LRT), awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, suspek berusia 34 tahun diberkas anggota polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Suspek dikesan cuba memanjat pagar stesen LRT Chan Sow Lin, di sini, sebelum ditahan anggota polis bantuan yang sedang melakukan rondaan.

Jurucakap Prasarana Lim Jin Aun berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pudu untuk tindakan lanjut.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku dia ahli kumpulan artis jalanan Woohoo. Pemeriksaan menemui pelbagai peralatan termasuk tujuh tin cat, sepasang sarung tangan dan empat anak kunci menyerupai kunci pintu tren.

“Pihak Prasarana kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki terbabit kerana tindakannya itu boleh menyebabkan syarikat terpaksa menanggung kos membersihkan tren, selain mengurangkan jumlah tren beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak Prasarana mengucapkan syabas kepada polis bantuan yang memberkas suspek.

“Masalah timbul apabila tren yang diconteng terpaksa dihantar untuk kerja pembersihan serta proses mengecat semula bahagian yang diconteng. Ini bermakna jumlah tren berkurangan dalam operasi harian kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 7:45 AM