IFFA bersama dua trofinya.
IFFA bersama dua trofinya.
KAMAL (tengah belakang), Azlan (tengah belakang) serta Abdul Jalil bergambar bersama  penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Media Prima 2015 di Balai Berita.
KAMAL (tengah belakang), Azlan (tengah belakang) serta Abdul Jalil bergambar bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Media Prima 2015 di Balai Berita.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Seramai 86 anak warga kerja Media Prima Berhad (MPB) yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu diraikan dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik MPB 2015, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (NSTP) Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB Datuk Kamal Khalid serta Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid.

Mohammad Azlan berkata, penganjuran anugerah berkenaan adalah tanda sokongan pihak syarikat terhadap usaha gigih anak kakitangan dalam mencapai kecemerlangan.

Katanya, MPB adalah kumpulan syarikat yang mementingkan keseimbangan dari aspek kerjaya serta kehidupan berkeluarga kerana meskipun sibuk dengan kerja masing-masing, namun kebajikan dan amanah kepada keluarga perlu diberi keutamaan.

“Diharapkan penghargaan dan pencapaian ini akan menjadi pencetus kepada semua penerima bagi mencapai kecemerlangan bukan saja untuk diri sendiri bahkan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Penerima, Iffa Umairah Zulmajdi, 18, berkata, kejayaannya memperoleh 10A 1B dalam peperiksaan SPM diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada dua adiknya untuk berjaya dalam peperiksaan masing-masing.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh itu kini melanjutkan pelajaran di peringkat Asasi Sains di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bercita-cita untuk menjadi seorang pakar jantung suatu hari nanti.

Katanya, tiada rahsia untuk berjaya dalam peperiksaan melainkan perlu memberi tumpuan penuh ketika guru mengajar selain segera bertanya sekiranya tidak memahami sesuatu topik yang diajar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:22 AM