WAHID (kiri) bersama anaknya menunjukkan kain rentang tertera doa dipertemukan dengan pencuri tebunya. Gambar kecil, Wahid menunjukkan tebu yang dipotong pencuri.
WAHID (kiri) bersama anaknya menunjukkan kain rentang tertera doa dipertemukan dengan pencuri tebunya. Gambar kecil, Wahid menunjukkan tebu yang dipotong pencuri.
Norfaisal Jahuri


Melaka: ‘Ya Allah, ya Tuhanku, kau temukanlah aku dengan orang yang mencuri tebu aku. Amin, amin, amin, ya rabbal alamin’.

Itulah doa tertera pada kain rentang dipasang seorang lelaki di kebunnya selepas buntu dengan tindakan penceroboh yang kerap mencuri tebu ditanamnya.

Kain rentang itu dipasang di hadapan laluan masuk ke kebun terbabit terletak berhampiran Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di Kampung Balik Bukit, di sini, oleh pemiliknya, Wahid Abdul, 55, sejak dua hari lalu.

Wahid berkata, dia memasang kain rentang tertera doa itu supaya dipertemukan pencuri tanamannya selain memberi peringatan kepada penceroboh bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan perbuatannya.

Pengusaha ladang tebu itu mendakwa dia kerugian hampir RM300 setiap minggu sejak beberapa bulan lalu disebabkan tanaman di kebun seluas 0.4 hektar dicuri.

Katanya, dia juga berharap orang ramai yang melihat doanya pada kain rentang dipasang menghadap Lebuh AMJ turut mendoakan perkara sama dengan harapan dapat menginsafkan pencuri terbabit dan menghindari tanamannya daripada terus dicuri.

“Bayangkan jumlah kerugian saya tanggung kalau hampir setiap minggu sehingga 70 tebu dari kebun dicuri. Jika diproses sebagai air tebu, jualannya boleh mencapai sehingga RM300.

“Saya bukan sahaja bekerja keras memastikan tanaman subur, tetapi perlu menunggu sehingga 10 bulan sebelum dituai dan diproses menjadi minuman,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu semakin kerap berlaku sejak awal tahun ini, malah kebunnya pernah diceroboh dua kali dalam tempoh seminggu dengan kerugian paling besar Januari lalu selepas hampir satu tan tebu dicuri.

Wahid berkata, jumlah pokok tebu matang yang menyusut akibat dicuri menyebabkan dia hanya mampu menjual air tebu untuk tempoh dua minggu sahaja sepanjang Ramadan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:37 AM