PEGAWAI penguat kuasa PERHILITAN menunjukkan burung ayam-ayam yang dirampas.
PEGAWAI penguat kuasa PERHILITAN menunjukkan burung ayam-ayam yang dirampas.
myMetro

Kuala Terengganu: Hasrat lima lelaki menjual burung ayam-ayam yang ditangkap di Kuala Ibai, di sini, semalam, tidak kesampaian apabila diserbu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kuala Terengganu.

Hasil serbuan pada jam 1.45 pagi itu 18 burung ayam-ayam dirampas selain pelbagai peralatan digunakan untuk menangkap unggas yang dilindungi sepenuhnya itu termasuk lapan jaring, dua set alat pemanggil burung dan dua unit pembesar suara.

Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata, serbuan dijalankan selepas mendapat maklumat daripada orang awam berikutan kegiatan itu mengganggu ketenteraman awam kerana mereka menggunakan perakam dan pembesar suara untuk memanggil burung.

“Seramai lapan penguat kuasa PERHILITAN membuat serbuan namun lima suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami.

“Hasil pemeriksaan, mereka disyaki menjalankan aktiviti yang melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Tahun 2010/Akta 716 kerana menangkap burung ayam-ayam yang dilindungi sepenuhnya,” katanya ketika ditemui semalam.

Hasdi berkata, pihaknya menemui 18 burung ayam-ayam di dalam tiga jaring berbentuk uncang selain lapan jaring bersama 10 pancang kayu yang dipercayai digunakan sebagai jerat unggas itu.

“Turut ditemui pemain radio berserta dengan dua unit bateri dan dua pembesar suara.

“Barang itu dirampas dan pemantauan akan dijalankan secara berterusan bagi menangani kegiatan menangkap burung ayam-ayam,” katanya.

Menurutnya, kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 68 (1) (a) memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

Kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 11:37 AM