NURUL Ain meraikan kejayaan bersama ibu bapanya, Mek Wok dan Ali di Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Pra Graduan Sesi Mac-Julai 2016.
NURUL Ain meraikan kejayaan bersama ibu bapanya, Mek Wok dan Ali di Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Pra Graduan Sesi Mac-Julai 2016.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: “Kepayahan ibu bapa membesarkan kami adik-beradik menjadi sumber inspirasi saya untuk berjaya.

“Saya nekad ubah nasib keluarga,” kata Nurul Ain Ali, 23, Penuntut Terbaik Keseluruhan Sarjana Muda, Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Pra Graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan 2016.

Penuntut Seni Reka Tekstil dari Kampus UiTM, Machang itu turut meraih Anugerah Dekan selama tiga semester berturut-turut selain mengekalkan kecemerlangan dalam aktiviti kampus diceburi.

Menurutnya, dia anak ke 12 daripada 13 beradik dan satu-satunya anak yang berjaya melanjutkan pengajian hingga ke universiti awam.

“Sejak menamatkan Diploma Seni Reka Tekstil di UiTM Chendering, Kuala Terengganu, saya menyambung ke peringkat ijazah sarjana muda untuk masa depan yang lebih baik.

“Bagi saya, ayah yang bekerja sebagai pencari akar kayu untuk ubat tradisional sudah puas bergelumang dengan kesusahan dan giliran saya membahagiakan mereka pula,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Pra Graduan Sesi Mac-Julai 2016 di Hotel Grand Riverview, semalam.

Pada majlis itu, Nurul Ain menerima trofi, plak, sijil kecemerlangan akademik dan wang tunai RM500 disampaikan Rektor UiTM Cawangan Kelantan Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan.

Hadir berkongsi kejayaannya adalah ibu bapanya, Mek Wok Awang Chik, 62, dan Ali Ismail, 66.

Nurul Ain penuntut aktif di kampus dan meraih beberapa kejayaan dalam pertandingan, antaranya mendapat pingat perak di The Third International Innovation, Design and Articulation (I-DEA) di Arau, Perlis pada April 2016.

Bakal menamatkan pengajian Julai ini, dia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana bidang sama kerana mahu mendalami ilmu seni reka tekstil lebih mendalam.

“Saya sangat meminati seni ini dan akan terus mendalaminya hingga peringkat tinggi,” katanya memperoleh yang Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.69.

Sementara itu, Ali berkata, sebagai ayah, dia sentiasa memberi sokongan dan motivasi setiap anaknya untuk berjaya dalam kehidupan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 10:09 AM