NAJIB  menyampaikan replika tiket jemaah haji kepada penerima  pada  Majlis Perasmian Penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2016, semalam.
NAJIB menyampaikan replika tiket jemaah haji kepada penerima pada Majlis Perasmian Penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2016, semalam.
Isma Ismail


Kuala Nerus: Penggunaan dana daripada masyarakat awam oleh universiti tersohor luar negara adalah contoh terbaik yang boleh diterapkan bagi memantapkan institusi pengajian pondok di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, universiti ternama luar negara seperti Harvard, Cambridge, Oxford dan Yale antara contoh terbaik menggunakan dana daripada masyarakat awam.

Menurutnya, bagi pusat pengajian pondok pula ia boleh menggunakan konsep sama termasuk memberi dimensi baru dalam sistem wakaf bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam membantu bidang pendidikan terutama institusi pengajian pondok di negara ini.

“Dalam sejarah, sistem wakaf termasuk antara manfaat paling mendapat perhatian besar daripada umat Islam.

“Hampir di setiap kota besar di negara Islam terdapat sekolah, universiti, perpustakaan dan Pusat Islam hasil wakaf seperti di Damaskus (Syria), Baghdad (Iraq), Kaherah (Mesir), Isfahan (Iran) dan beberapa tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2016 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Ijtimak selama dua hari bermula kelmarin itu disertai lebih 1,000 mudir, tenaga pengajar dan pelajar pondok dari seluruh negara.

Pada majlis itu juga Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Ulama Terengganu kepada Allahyarham Saiyid Abdur Rahman Saiyid Muhammad atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh yang diwakili cucunya, Datuk Syed Abu Bakar Syed Abdullah.

Majlis itu turut mengumumkan Allahyarham Wan Mohd Shaghir Abdullah sebagai penerima Anugerah Karya Ilmiah Pondok.

Selain itu, 10 pondok dari seluruh negara dipilih menerima Anugerah Kasih Perdana Menteri termasuk Madrasah Saadatul Darain (Pondok Tualang) dari Kelantan dan Madrasah Sirotol Mustaqim (Terengganu).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 6:15 AM