AMBRIN
AMBRIN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam menunjukkan tahap prestasi pengurusan kewangan agensi kerajaan semakin cemerlang berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata, 180 kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan mendapat penarafan Cemerlang (5 bintang), berbanding hanya 114, pada tahun 2014.

“Pencapaian ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti memberi dorongan kepada Pegawai Pengawal untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Beliau berkata, laporan kali ini juga lebih awal daripada biasa iaitu sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2017, kerana pihaknya mendapat kerjasama Jabatan Akauntan Negara.

“Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan pada keseluruhannya memberi gambaran benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan seperti pada 31 Disember 2015 serta hasil operasi dan aliran tunainya bagi tahun berakhir pada tarikh terbabit.

“Rekod perakaunannya diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan, dan Kerajaan negeri Tahun 2015 dibentangkan secara bersiri sebanyak dua kali tahun ini.

Laporan Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan dirancang, dilaksana dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program/aktiviti dan projek itu tercapai.

Ambrin berkata, ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat tanpa pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan dibuat.

Secara keseluruhannya, hasil Kerajaan Persekutuan berkurangan RM1.537 bilion (0.7 peratus) berbanding dengan tahun 2014. Kutipan Cukai Pendapatan Individu menunjukkan peningkatan RM1.899 bilion (7.8 peratus) dan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu RM27 bilion.

Bagaimanapun, pengurangan hasil Cukai Pendapatan Petroleum sebanyak RM15.397 bilion, Cukai Pendapatan Syarikat sejumlah RM1.560 bilion dan Royalti Petroleum sebanyak RM1.389 bilion menyumbang kepada pengurangan hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2015.

“Kejatuhan harga minyak mentah dunia memberi kesan besar kepada kutipan hasil. Manakala kutipan cukai jualan dan perkhidmatan berkurangan apabila cukai ini digantikan GST.

“Pada tahun 2015, kutipan GST Tempatan berjumlah RM14.040 bilion dan kutipan GST Import berjumlah RM12.973 bilion, oleh itu, kutipan GST 2015 sebanyak RM27.013 bilion,” katanya. - BERNAMA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:30 AM