AZLIN menunjukkan penyata KWSP yang dipalsukan sindiket untuk memohon pinjaman peribadi.
AZLIN menunjukkan penyata KWSP yang dipalsukan sindiket untuk memohon pinjaman peribadi.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Tampal dan ubah jumlah wang pada penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Itu taktik digunakan sindiket pemalsuan dokumen bertujuan memohon pinjaman peribadi berjumlah ratusan ribu ringgit di bank.

Ahli sindiket hanya perlu menggunakan mesin fotokopi dan melakukan proses menyalin berulang kali kertas penyata KWSP sehingga hilang kesan jumlah asal simpanan.

Difahamkan kumpulan ini kemudian akan membawa penyata palsu yang siap diubah suai maklumat ke bank untuk memohon pinjaman peribadi.

Kegiatan empat individu berusia 25 hingga 45 tahun itu bagaimanapun dibongkar apabila semua mereka ditahan polis di USJ 21 di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, dua suspek ditahan itu dipercayai dalang sindiket manakala dua lagi adalah pelanggan mereka.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek bertindak sebagai ejen bagi membantu pelanggan bank memalsukan dokumen KWSP berikutan nama mereka disenarai hitam oleh institusi kewangan.

“Suspek memalsukan maklumat pada dokumen KWSP itu sebelum diserahkan semula kepada pelanggan yang mahu membuat pinjaman bank segera.

“Pelanggan sindiket itu memohon pinjaman menggunakan MyKad, cap jari serta dokumen palsu KWSP ini,” katanya.

Menurutnya, polis menerima dua laporan daripada bank yang meluluskan pinjaman peribadi berjumlah RM27,800 dimohon pelanggan yang berurusan dengan suspek.

“Sindiket menjadikan bank yang menawarkan proses pinjaman peribadi dalam tempoh singkat selain hanya perlu menggunakan dokumen penyata KWSP.

“Polis kini masih menyiasat sama ada ‘orang dalam’ bank yang terbabit dengan kegiatan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, semalam.

Mohammad Azlin berkata, setakat ini dua kes penipuan sama dilaporkan iaitu pada 4 Mei dan 5 Mei lalu.

“Susulan tangkapan suspek, polis merampas dokumen dipalsukan termasuk satu mesin fotokopi digunakan.

“Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 5:47 AM