Freida  (empat dari kiri) beramah bersama wakil penerima kerusi roda pada majlis penyerahan sumbangan.
Freida (empat dari kiri) beramah bersama wakil penerima kerusi roda pada majlis penyerahan sumbangan.
Redzuan Muharam


Cheras: “Harga kerusi roda di pasaran agak mahal, justeru sumbangan ini bermakna bagi ibu yang tidak dapat bergerak sejak diserang strok 10 tahun lalu,” kata Kartini Othman, 41, yang mewakili ibunya, Khatijah Talib, 61 untuk menerima Bantuan Kerusi Roda 1 Malaysia (BKR1M) .

Kartini berkata, Khatijah tinggal bersama adik bongsunya, Nor Ismah, 24, sejak setahun lalu dan terlantar di rumah selepas diserang penyakit itu.

Menurut Kartini, doktor mengesyorkan penggunaan kerusi roda untuk kemudahan ibunya, tetapi dia tidak dapat membeli peralatan itu kerana harganya yang mahal mencecah RM700 seunit.

“Ayah meninggal dunia pada 2005 akibat penyakit jantung dan komplikasi buah pinggang.

“Lima tahun selepas pemergian ayah, ibu menghidap strok sehingga kini

“Melihat keadaan ibu, saya cuba menghantar permohonan mendapatkan kerusi roda dan bersyukur memperoleh bantuan itu hari ini (semalam),” katanya pada majlis penyampaian BKR1M di Cempaka Cheras Campus, Persiaran Awana, Taman Cheras Permata 2, di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengasas dan Mentor Cempaka Schools Malaysia Datuk Freida Mohd Pilus.

Turut hadir, Naib Pengerusi KER1M Wadawiah Mat Shafiei.

Selain Khatijah, dua lagi penerima BKR1M adalah Saadiah Abd Razak dan
S Kaniammah.

Saadiah, 69, diwakili menantunya Abdullah Sani Ayub, manakala S Kaniammah diwakili cucunya, P Selvarani.

Freida berkata, penyampaian BKR1M bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik. dan pada masa sama, mendidik pelajar Cempaka Schools cenderung dengan amalan bersedekah.

“Setiap tahun, pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) diadakan dan kali ini, kita bekerjasama dengan Persatuan Kesejahteraan Rakyat 1 Malaysia (KER1M) untuk membantu golongan sasar.

“Selain membantu golongan kurang bernasib baik, program ini diharap memupuk nilai murni dalam kalangan pelajar bermula di peringkat awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:08 AM