Najib  menyampaikan ucapan  pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Redeem Centre, semalam.
Najib menyampaikan ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Redeem Centre, semalam.
myMetro

Bau: “Sebelum mengundi, tanya pada diri masing-masing, siapa yang mampu wakili kita dan mampu beri apa kita mahu?” Itu antara soalan dilontarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat Sarawak yang mengundi hari ini bagi menentukan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Beliau berkata, keupayaan mengemukakan jawapan kepada persoalan itu menjadi penentu nasib rakyat negeri ini, sama ada mahu bersama ‘Pasukan Adenan’ menyambung kesinambungan pembangunan terutama di kawasan luar bandar selain membela nasib semua etnik di Bumi Kenyalang.

“Barisan Nasional (BN) sudah lama mengamalkan dasar keseimbangan membabitkan pemeliharaan kebudayaan pelbagai etnik dan pembangunan prasarana yang perlu bergerak seiring dan hanya BN yang mampu melaksanakan ideologi terbabit dalam konteks politik pelbagai kaum di negara ini termasuk Sarawak.

“BN gabungan parti yang bukan saja menyokong pembangunan semua kaum, malah mempromosikan integrasi kaum. Kita tidak bercakap saja, tetapi kita ambil tindakan,” katanya ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Redeem Centre, di sini, semalam.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi membina Pusat Kebudayaan Bidayuh berdekatan Redeem Centre membabitkan kos RM5 juta dan projek pelebaran Jalan Sibuluh-Bau, lebih 10 kilometer, juga membabitkan jumlah kos sama.

Perdana Menteri berkata, BN Sarawak mencapai kematangan politik yang mengagumkan dengan contoh terbaik membabitkan pemilihan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru.

“Sebelum Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) umum calon di Tasik Biru, banyaklah yang datang melobi kepadanya. Namun, bila Adenan pilih calonnya iaitu (Datuk) Henry (Harry Jinep) semua akur. Lebih menunjukkan kematangan politik apabila bekas ADUN Tasik Biru Datuk Peter (Nansian Ngusie) yang digugurkan turut sokong Henry,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:52 AM