MOHD Yusof
MOHD Yusof
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Pengguna perlu lebih rasional dalam membuat pilihan pemberian makanan tanpa termakan dengan ‘iklan promosi agama’ yang digunakan pihak tertentu semata-mata ingin melariskan produk keluaran mereka.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman turut mempertikaikan kaedah ‘terapi al-Quran’ yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu kononnya produk makanan atau bahan mentah keluaran mereka melalui proses berkenaan.

“Persoalan besar yang perlu dijawab adalah bagaimana proses terapi al-Quran itu berlaku. Adakah wujud individu yang membacakan surah-surah tertentu atau hanya menggunakan perakam cakera padat atau kaset.

“Ini yang perlu difikirkan oleh pengguna supaya tidak menjadi mangsa segelintir pihak yang menjual agama untuk meningkatkan keuntungan mereka,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, semalam.

Jumaat lalu, akhbar ini mendedahkan tindakan segelintir peniaga pihak yang dikesan mengeksploitasi ayat suci al-Quran dengan memperkenalkan ‘ayam terapi’ demi mendapatkan keuntungan mudah dengan harga jualannya hampir sekali ganda lebih mahal berbanding ayam biasa di pasaran.

Malah, penggunaan iklan agama itu turut membabitkan produk makanan lain antaranya serbuk kopi, kismis dan beberapa makanan lain biarpun wujud persoalan berhubung kaedah terapi berkenaan dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin dalam laporan itu berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam beberapa siri muzakarah serta forum dan ketetapan yang dibuat adalah ia bersalahan dalam Islam.

Dalam laporan itu, Abd Shukor menegaskan bahawa tindakan peniaga yang menggunakan promosi agama semata-mata untuk melariskan perniagaan bertentangan dengan prinsip Islam dan keadaan ini boleh menimbulkan unsur penipuan serta terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

Mohd Yusof berkata, pengguna perlu lebih bijak dalam mendepani isu berkenaan supaya keadaan itu tidak menggalakkan peniaga untuk mengeksploitasi sesuatu bentuk promosi agama atau lain-lain medium.

“Perkara ini tidak harus diserahkan kepada pihak berkaitan semata-mata untuk mengambil tindakan, sebaliknya pengguna boleh memainkan peranan penting dengan tidak membeli produk seumpama itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 8:08 AM