ANGGOTA TLDM melakukan latihan senaman.
ANGGOTA TLDM melakukan latihan senaman.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Pendekatan mengawal dan mengimbangi Indeks Jisim Badan (BMI) diperkenalkan kepada segelintir anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memastikan mereka menjadi tentera laut berkelas dunia.

Panglima TLDM Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kaedah itu dilakukan melalui pendekatan mengawal pengambilan kalori dalam makanan bertujuan memastikan setiap pegawai dan anggota TLDM kekal sihat dan tidak mengalami masalah obesiti.

Katanya, program pengawalan kalori dalam makanan diperluaskan di setiap kapal TLDM dan akan dilaksanakan secepat mungkin.

“TLDM amat terkenal dengan masakan makanan yang sedap termasuk di atas kapal. Jadi budaya ini kita hendak ubah iaitu mereka perlu memasak makanan yang cukup kalori dan seimbang. Jadual pemakanan rendah kalori dimaklumkan kepada tukang masak kapal.

“Ini termasuk mengurangkan garam, gula dan minyak dalam masakan bagi memastikan setiap warga TLDM berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami masalah obesiti,” katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Kamarulzaman berkata, program itu dirangka bukan untuk menyeksa atau menyekat selera pegawai dan anggota TLDM, tetapi bagi mewujudkan budaya hidup sihat dan bebas penyakit.

Katanya, warga TLDM yang mempunyai masalah kesihatan bukan sahaja menjejaskan diri mereka malah menyebabkan rakan seperjuangan terpaksa mengambil alih tugas seterusnya merugikan pasukan.

Jelasnya, biarpun terdapat warga TLDM yang mengalami masalah kegemukan namun ia bukan penghalang untuk mendapatkan BMI seimbang berikutan tiada apa yang mustahil dalam menurunkan berat badan.

“Saya pergi mesyuarat di negara luar, mereka mengambil makanan secukupnya contoh semasa sarapan pagi hanya makan biskut dan sandwich.

“Kita di Malaysia sarapan pagi dengan makan nasi lemak dan makanan yang tinggi kalori. Jadi budaya ini saya hendak ubah dalam TLDM,” katanya.

Beliau berkata, warga TLDM yang sihat bukan sahaja segak dan ceria, malah peluang kenaikan pangkat untuk mereka yang berada di BMI ditetapkan turut cerah untuk dipertimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 7:03 AM