NAJIB  disambut masyarakat di Matu, semalam.
NAJIB disambut masyarakat di Matu, semalam.

Mukah: Sarawak memerlukan kestabilan politik bagi menjamin pembangunan berterusan dapat dilaksanakan di seluruh negeri ini supaya ia dapat maju setanding dengan negeri lain di negara ini khususnya negeri di pantai barat Semenanjung.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, hanya kestabilan politik bersama Barisan Nasional (BN) dapat menjamin pembangunan berterusan di Sarawak, lagi pula negeri ini memerlukan sokongan kerajaan Pusat bagi memastikan agenda itu itu dapat dilaksanakan.

“Rakyat Sarawak perlu bijak memilih peneraju kepemimpinan negeri pada pilihan raya negeri, 7 Mei ini.

“Ia tidak saja bagi memastikan kesinambungan pemerintahan kerajaan negeri sedia ada nanti, juga menjamin kestabilan politik pada masa akan datang yang ditentukan sendiri rakyat di Bumi Kenyalang ini.

“Kita perlu dalam demokrasi sebuah kerajaan yang kuat, kalau terumbang-ambing tidak akan dapat menikmati kestabilan politik, bagaimana hendak memakmurkan Bumi Kenyalang, mesti ada kestabilan politik,” katanya ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Dewan Masyarakat Kampung Tian, Matu, dekat sini, semalam

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan calon BN DUN Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya dan calon BN DUN Daro Safiee Ahmad.

Najib berkata, kerajaan Pusat melaksanakan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM16 bilion bagi merancakkan pembangunan di Sarawak.

“Malah, saya kerap melawat Sarawak dan sudah (lebih) 51 kali berkunjung ke negeri ini. Saya juga sudah meluluskan lebih RM3 bilion untuk menolong orang Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib turut mengutuk tindakan pihak tertentu cuba mengheret campur tangan asing dalam politik negara termasuk usaha menjatuhkan beliau melalui cara tidak demokratik.

“Campur tangan asing ini akan menghancurkan negara, lihat apa yang berlaku dengan negara yang terbabit dengan gerakan ‘Arab Spring’ seperti Syria, Mesir dan Libya. Negara itu hancur akibat campur tangan dari luar.

“Kami mesti tunjuk (kepada) dunia luar jangan ada campur tangan orang asing, orang luar tiada hak. Kita tak boleh benarkan campur tangan dari luar untuk tentukan siapa berhak memimpin negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 9:10 AM