Mahdzir  menyampaikan anugerah kepada   Dr Zurinah pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-13, semalam.
Mahdzir menyampaikan anugerah kepada Dr Zurinah pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-13, semalam.

Putrajaya: Sambutan pendidikan aliran sastera di negara ini dilihat agak membimbangkan memandangkan kebanyakan pelajar lebih berminat mengikuti bidang sains bagi menjamin masa depan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persepsi dan pandangan itu perlu diubah dengan mendekati pelajar aliran sains dan memberi mereka pemahaman yang betul mengenai kesusasteraan.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, masalah atau perkara menjadi halangan daripada meminati bidang sastera perlu diatasi dengan segera.

“Semua pihak juga seharusnya mula serius memikirkan untuk mengangkat karya terbaik negara ke peringkat antarabangsa jika mahu membawa bidang kesusasteraan ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-13, di sini, semalam.

Terdahulu, pada majlis sama, penyair tersohor negara, Datuk Dr Zurinah Hassan, 67, dianugerahkan Sasterawan Negara Ke-13, sekali gus meletakkan beliau sebagai wanita pertama di negara ini dipilih sebagai Sasterawan Negara.

Mahadzir pada 13 Oktober tahun lalu mengumumkan Zurinah dipilih sebagai Sasterawan Negara Ke-13 berdasarkan sumbangan cemerlangnya dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Pengurniaan itu melayakkan beliau menerima warkah penghormatan negara dan wang tunai RM60,000 serta penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan serta agensi kerajaan.

Zurinah dalam ucapannya berkata, beliau mahu bidang sastera negara diwarisi generasi pelapis bagi membolehkan ia terus subur pada masa kini dan masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 7:38 AM