ORANG ramai memilih pelbagai jenis barangan di Cronix Store, Jerantut, Pahang.
ORANG ramai memilih pelbagai jenis barangan di Cronix Store, Jerantut, Pahang.
Roselan Ab Malek

Jerantut: Apakah yang dapat dibeli dengan wang RM1 hari ini?

Mungkin tiga kuih atau sekurang-kurangnya segelas teh o. Bagaimanapun, seorang pengusaha kedai barangan terpakai di sini, membuktikan dia mampu menjual baju, seluar dan cadar pada harga berkenaan.

Pemilik Cronix Store, Ahmad Afif Zamadi, 32, berkata, pada mulanya ramai tidak percaya apabila dia mengiklankan menerusi Facebook mengenai tawaran RM1 di premisnya.

Katanya, biarpun harganya hanya RM1, kualitinya tidaklah seteruk disangka menyebabkan kedainya diserbu orang ramai sebelum membukanya setiap hari.

“Semua barangan termasuk baju, seluar, langsir, cadar dan pakaian kanak-kanak dijual dengan harga RM1 dan ada barangan yang kualitinya masih elok dan berjenama.

“Saya gembira apabila melihat wajah riang pelanggan yang mendapat barangan berjenama dengan harga amat murah dan ia tidak terdapat di kedai lain,” katanya.

Menurutnya, kedainya bersebelahan Kolej Komuniti Jerantut itu mula dikerumuni penggemar barangan terpakai seawal jam 9 pagi.

Katanya, kedainya membuka guni baru pada setiap hari Sabtu bagi membolehkan pelanggan mendapatkan barangan baru setiap minggu.

“Sambutan sangat luar biasa apabila melihat gelagat orang ramai tanpa mengira usia memilih barangan terpakai sebaik guni baru dibuka,” katanya.

Ahmad Afif berkata, kedai di Jerantut yang baru sebulan beroperasi itu adalah kedai barangan terpakai yang ketiga miliknya selepas membuka premis sama di Dungun, Terengganu dan Sri Rampai, Kuala Lumpur.

“Saya memilih menjual dengan harga RM1 kerana ia mampu dibeli semua golongan lapisan masyarakat.

“Berdasarkan keadaan ekonomi sekarang, ternyata ramai yang berkunjung ke kedai saya untuk membeli pakaian bagi keperluan sekeluarga,” katanya.

Dia berkata, terdapat pelanggan yang berbelanja sehingga RM100 dan kehadiran mereka ternyata berbaloi.

“Saya bercadang membuka beberapa lagi cawangan termasuk di Kuantan dan Bandar Tun Abdul Razak, Jengka,” katanya.

Menurutnya, selain orang ramai, ada juga peniaga yang yang datang untuk membeli secara borong untuk dijual kepada pelanggan mereka sama ada di pasar malam atau pasar minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 7:28 AM