ADENAN pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Skio, semalam.
ADENAN pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Skio, semalam.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Bau: Ketika ramai pemerhati politik menjangkakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu dan Bukit Semuja bakal diwakili calon langsung BN, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem masih belum membuat keputusan mengenai penentuan calon di kedua-dua DUN itu.

Adenan mengakui ramai yang tertunggu-tunggu mengenai pengumuman dua calon kerusi baru DUN itu, tetapi beliau masih belum dapat memberikan sebarang keputusan.

“Saya masih belum memutuskan siapa calon yang dipilih. Beri saya sedikit masa lagi untuk menentukannya.

“Saya berbesar hati kerana pengundi di dua kawasan DUN ini memberi kepercayaan kepada saya untuk menentukan siapa wakil mereka. Disebabkan kepercayaan yang diberikan ini, saya perlu membuat pilihan terbaik,” katanya ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Skio, di sini, semalam.

Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di dewan kampung itu berlangsung dalam suasana ceria apabila sebaik tiba dan menaiki pentas, Adenan sempat mendendangkan dua lagu kegemarannya.

Mengenai kedua-dua kerusi DUN itu, Adenan turut memberi jaminan, ia akan diberikan kepada masyarakat Bidayuh kerana kerusi itu sememangnya hak kaum itu.

Kerusi DUN Bukit Semuja menjadi perebutan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Bagi DUN Serembu membabitkan perebutan antara tiga parti iaitu Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), PBB dan Parti Bersatu Sarawak (UPP).

Biarpun berlaku perebutan, namun semua parti yang terbabit menyerahkan kepada kebijaksanaan Adenan untuk memilih calon sesuai bagi DUN itu.

Adenan menjelaskan, calon yang dipilih bagi kedua-dua kerusi DUN itu nanti adalah individu yang boleh diharapkan untuk membantu kemenangan BN.

“Saya perlu memilih calon yang bersesuaian untuk menjadi ‘Team Adenan’. Saya tak mampu melakukannya berseorangan.

“Kita umpamakan Team Adenan ini seperti pasukan bola sepak yang saling bekerjasama untuk mendapatkan kemenangan. Apabila kita ada pasukan yang kukuh dan saling bekerjasama, sudah pasti kita dapat menjamin kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 9:34 AM