myMetro

Kuala Lumpur: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mengadakan lawatan ke Balai Berita, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) bagi berkongsi maklumat berhubung transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 yang bermula 26 Mac lalu.

Lawatan membabitkan 15 delegasi JLKN disambut Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mahfar Ali, Pengarang Kumpulan NST, Mustapha Kamil Janor, Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Badrulhisham Othman dan Pengarang Kanan Berita dan Unit Khas Harian Metro, Yusri Abdul Malek.

Sesi taklimat dan perkongsian maklumat berhubung program PLKN 2.0 berlangsung lebih dua jam diberikan Ketua Pengarah JLKN, Datuk Mohmed Asri Yusof sebelum delegasi dibawa melawat ke bahagian editorial dan Pusat Sumber NSTP.

Mohmed Asri berkata, pihaknya berharap akhbar kumpulan NSTP dapat membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan memberi pendedahan mengenai kebaikan dan penambahbaikan PLKN 2.0.

“NSTP adalah penyampai kepada sumber maklumat, jadi kita berharap laporan itu nanti dapat memberi peningkatan positif dan berterusan kepada kedua-dua pihak.

“Kita mahu masyarakat mendapat maklumat berguna mengenai faedah besar yang diperoleh daripada program transformasi PLKN 2.0 ini, malah turut membuka peluang kerjaya kepada golongan muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:32 AM
 Mohmed Asri (tengah) mendengar penerangan Pengurus Pusat Sumber NSTP, Ramlan Ramli (kiri) sambil diperhatikan Ketua Komunikasi Pemasaran NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi.
Mohmed Asri (tengah) mendengar penerangan Pengurus Pusat Sumber NSTP, Ramlan Ramli (kiri) sambil diperhatikan Ketua Komunikasi Pemasaran NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi.