SUKARELAWAN WLC mengagihkan makanan.
SUKARELAWAN WLC mengagihkan makanan.
SUKARELAWAN WLC membungkus makanan dan minuman untuk diberikan kepada golongan memerlukan.
SUKARELAWAN WLC membungkus makanan dan minuman untuk diberikan kepada golongan memerlukan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Muda, bergaya dan berkerjaya adalah kriteria We Love Charity (WLC) namun di sebalik perwatakan ‘orang muda’ itu, mereka sebenarnya adalah pasukan penjejak gelandangan, anak yatim, ibu tunggal dan golongan kurang bernasib baik dengan menghulurkan bantuan tidak mengira masa dan lokasi.

Keunikan sukarelawan WLC diakui Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Baru Sentul Datuk Abdul Razak Hussain yang berkesempatan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam satu program, baru-baru ini.

Beliau berkata, WLC adalah pertubuhan yang aktif dalam kerja kemasyarakatan, malah sanggup bersengkang mata demi meluangkan membantu golongan memerlukan.

Malah, mereka yang rata-rata adalah berkerjaya juga sanggup bersengkang mata dan mengorbankan masa demi memastikan matlamat WLC tercapai dengan turun padang menghulurkan bantuan.

“Baru-baru ini mereka menyertai Program Pasar Percuma yang diadakan di Masjid Amru Ibni Al As, Bandar Baru Sentul dengan menyediakan keperluan dapur seperti minyak masak, beras dan gula untuk diagihkan kepada orang ramai.

“Mereka yang rata-rata masih muda tidak mementingkan diri seperti belia lain dengan terbabit dalam aktiviti berunsur hiburan, namun lebih seronok menyertai program kemasyarakatan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini.

Abdul Razak berkata, WLC menjadi contoh kepada masyarakat terutama belia supaya sentiasa menceburkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat melihat dengan jelas kesusahan dan keperitan golongan kurang bernasib baik meneruskan kehidupan.

“Bantuan dan sokongan daripada ahli WLC dapat meringankan bebanan yang ditanggung golongan kurang upaya kerana ada antara mereka hilang tempat bergantung, malah tiada sumber pendapatan.

“Selain itu, penyertaan WLC juga memudahkan persatuan penduduk melaksanakan program kemasyarakatan kerana ahlinya yang ringan tulang dan bersedia menyumbangkan tenaga, masa serta wang ringgit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau (ANSARA) Amir Redza Mohd Tajuddin berkata, WLC antara pertubuhan yang akan ke ‘depan’ dalam menyertai program kemasyarakatan.

“ANSARA sentiasa mengadakan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:12 AM