MOHD Nashar dan Suraya menunjukkan baju Sharlinie yang hilang sejak 9 Januari 2008.
MOHD Nashar dan Suraya menunjukkan baju Sharlinie yang hilang sejak 9 Januari 2008.
Oleh Rosli Ilham


Dungun: “Saya mohon orang ramai mahupun pihak berkuasa tidak melupakan kisah kehilangan Sharlinie dan pada masa sama cuba mengesannya,” kata Suraya Ahmad, 36, ibu kepada Sharlinie Mohd Nashar yang hilang sejak 9 Januari 2008.

Menurutnya, dia dan suami, Mohd Nashar Mat Hussien, 37, terus menaruh harapan supaya anak kesayangannya itu ditemui semula walaupun sudah lebih lapan tahun kehilangannya.

“Sebelum ini ramai bersimpati, malah kehilangan itu turut dirasai kebanyakan pemimpin negara, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, tetapi kini berita mengenainya seakan-akan sudah dilupakan terus.

“Kami masih menaruh harapan supaya pihak berkuasa, media dan orang ramai tidak lupa kes Sharlinie. Saya selalu berharap untuk bertemu semula dengannya walaupun hanya dalam mimpi,” katanya ketika ditemui, di rumahnya di Kampung Padang Pulut, di sini.

Sharlinie yang ketika itu berusia lapan tahun dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.

Sejak itu, pelbagai pihak termasuk orang perseorangan cuba memberikan bantuan mencarinya, namun sehingga kini usaha itu masih belum membuahkan hasil.

Sejak dilaporkan hilang, pasukan polis melancarkan gerakan besar-besaran mencari Sharlinie, termasuk operasi dari rumah ke rumah dan setiap premis di Lembah Klang terutama di kawasan Petaling Jaya.

Menurut Suraya, ketika bersendirian di rumah, dia sering terkenangkan rupa dan suara anaknya itu ketika bermain-main bersama kakaknya.

“Saya masih ingat dia tidak suka bermain di luar rumah sebaliknya suka bermain dengan kakaknya Sharliena dan Amirah.

“Saya amat merindui suara Sharlinie yang petah berkata-kata ketika bermain bersama kakaknya di rumah. Sharlinie gemar bermain masak-masak dan setiap permainannya akan dikemaskan dan disimpan semula tempat asal selepas bermain,” katanya sambil menyapu air mata.

Menurutnya, dia sering mengerjakan solat hajat dan membaca surah Yasin supaya anaknya itu selamat dan sihat sambil menaruh harapan agar dia dapat ditemui.

Bapa Sharlinie, Mohd Nashar pula berkata, sehelai baju milik anaknya itu menjadi pengubat segala kerinduannya dan isteri.

“Baju ini satu-satunya pakaian Sharlinie yang tinggal selepas semua pakaiannya itu digunakan bomoh untuk tujuan mengesannya dulu.

“Sejak kehilangannya, ramai kalangan pengamal perubatan tradisional datang membantu dan hampir setiap mereka meminta pakaian Sharlinie untuk tujuan mengesannya.

“Setiap kali teringatkan Sharlinie, saya dan isteri akan mengambil dan mencium pakaian itu untuk mengubat kerinduan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:39 AM