ANGGOTA polis memeriksa beg baja curi dimuat dalam kereta.
ANGGOTA polis memeriksa beg baja curi dimuat dalam kereta.
Oleh Ahmad Ismail


Segamat: Jenayah curi baja yang didalangi seorang lelaki terbongkar apabila polis menemui 32 kampit bahan itu seberat 1.6 tan di dalam keretanya yang tersadai di tepi jalan dekat Buloh Kasap, di sini, akibat mengalami kerosakan kelmarin.

Kira-kira jam 9 malam, anggota dari Balai Polis Buloh Kasap menerima panggilan daripada orang ramai berhubung sebuah Proton Wira yang mencurigakan tersadai berdekatan satu persimpangan jalan di Jalan Segamat-Kuantan itu.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, anggota polis yang tiba di lokasi mendapati dua tayar kereta berkenaan pancit selain mendapati ia membawa muatan yang berat.

Katanya, ketika memeriksa kereta terbabit, muncul seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun mendakwa kenderaan itu miliknya dan terpaksa mendapatkan bantuan mekanik selepas tayar belakang dan hadapan sebelah kiri pancit di samping penyerap hentakan turut rosak.

“Namun, apabila ditanya berkenaan muatan yang dibawa di dalam kereta itu, lelaki berkenaan kelihatan mula panik dan mencurigakan menyebabkan anggota polis terbabit mengesyaki sesuatu.

“Apabila disoal, lelaki berkenaan seterusnya mengakui membawa baja yang digunakan untuk tanaman kelapa sawit, namun gagal memberikan alasan munasabah berhubung pemilikan bahan itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Mohd Kamil berkata, pemeriksaan ke atas Proton Wira itu menemui sebanyak 32 guni baja dengan berat keseluruhan dianggarkan 1.6 tan yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan di dalam bonet.

Katanya, siasatan percaya baja itu dicuri dari gudang berdekatan oleh suspek dan dijual dengan harga antara RM50 hingga RM70 satu guni iaitu lebih separuh murah berbanding harga di pasaran.

“Polis percaya suspek tidak berseorangan dalam melakukan kegiatan mencuri baja ini dan usaha sedang dilakukan bagi mengenal pasti pihak ketiga yang menerima bahan itu dengan harga lebih murah berbanding pasaran,” katanya.

Mohd Kamil berkata, suspek direman tiga hari mulai semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:12 AM