Ainul Fatihah Mansor

Kuala Lumpur: “Saya kecewa tidak dapat menonton BoBoiBoy: The Movie kerana jualan tiket untuk tayangan hari ini (semalam) sudah habis,” kata Mohd Asyraf Salihin, 11.

Dia datang ke GSC Mid Valley, di sini jam 3 petang semalam sambil ditemani dua beradiknya, tiga sepupu bersama ibu saudaranya, Nora Maulud, 39.

Mohd Asyraf berkata, dia dimaklumkan ibu saudaranya tiket waktu tayangan jam 3.40 petang, jam 5.55 petang, jam 7 malam dan jam 10.10 malam habis.

“Lebih setengah jam ibu saudara berbaris bagi memastikan kami bertujuh dapat menonton filem itu.

“Bagaimanapun tempat duduk habis dengan cepat menyebabkan ibu saudara membeli tiket untuk tayangan keesokannya (hari ini) bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro di pawagam berkenaan mendapati pengunjung berbaris panjang, malah ia juga sesak dengan orang ramai yang datang bersama keluarga masing-masing.

Selain itu, ada kanak-kanak yang tidak berganjak dan duduk di lantai sementara menunggu giliran untuk masuk ke dalam panggung.

Ibu saudara kanak-kanak itu, Nora berkata, dia terkejut kerana tidak menjangka tiket filem animasi itu habis walaupun baru menjelang petang.

“Saya ingatkan jika waktu tayangan sebelah siang sudah habis, kami masih boleh membeli tiket wayang untuk tayangan waktu malam. Bagaimanapun ia habis dengan cepat.

“Nasib baik anak dan anak saudara saya memahami malah saya sudah membeli tiket filem itu untuk keesokan harinya (hari ini) bagi mengubati kekecewaan mereka,” katanya.

Kanak-kanak dikenali sebagai Remy Asyraf, 9, dari Sungai Buloh, Selangor berkata, dia amat meminati karakter utama BoBoiBoy sehingga terbawa-bawa ke dalam dirinya.

Justeru, Remy Asyraf berkata, dia tidak ingin melepaskan peluang untuk menonton filem berkenaan bersama keluarga pada musim cuti persekolahan.

“Saya tidak sabar menonton filem ini kerana saya difahamkan rakan bahawa BoBoiBoy mempunyai kuasa baru yang belum ditayangkan di televisyen sebelum ini.

“Selain itu, mereka (rakan) juga memaklumkan BoBoiBoy mempunyai ramai rakan baru yang disiarkan dalam filem,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:00 AM