Mangsa, Sulaiman   maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh  kereta di hadapan Surau Batu 13, Jalan Pantai Kuala Kurau.
Mangsa, Sulaiman maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di hadapan Surau Batu 13, Jalan Pantai Kuala Kurau.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: “Ketika azan Isyak berkumandang, kami dikejutkan dengan bunyi dentuman dari depan surau. Apabila kami memeriksa keadaan sekeliling, kami mendapati seorang ahli jemaah surau yang juga rakan kami cedera parah lalu meninggal dunia akibat dirempuh kereta,” kata saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 57.

Dalam kejadian jam 8.40 malam kelmarin, mangsa, Sulaiman Hussin, 63, yang menunggang motosikal, maut di tempat kejadian apabila dirempuh kereta di hadapan Surau Batu 13, Jalan Pantai Kuala Kurau, dekat sini.

Mohamad berkata, 10 jemaah yang berada dalam surau itu bersedia untuk solat berjemaah dan tiba-tiba dikejutkan dengan kejadian itu.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal Suzuki Nex, cuba melintas jalan untuk ke surau berkenaan bagi menunaikan solat Isyak sebelum dirempuh kereta.

“Saya dan jemaah lain yang berada di luar surau segera menghampiri kawasan kemalangan dan kami terkejut apabila lelaki yang dirempuh rakan baik kami.

“Dia mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tinggal 500 meter dari surau berkenaan sering ke surau untuk menunaikan solat berjemaah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa yang menunggang motosikal dari Kuala Kurau menghala Tanjung Piandang, dirempuh di sisi kanan oleh kereta Proton Pesona dipandu perempuan berusia 23 tahun.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk di bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari, menggesa pihak berwajib supaya mengambil tindakan terhadap lokasi kemalangan itu.

Menurutnya, lokasi kemalangan itu agak gelap dan keadaan jalan tidak rata.

“Pihak berwajib digesa menaik taraf lokasi berkenaan dan dalam masa sama dapat mengehadkan kelajuan di situ berikutan kiri dan kanan jalan adalah kawasan kediaman penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 8:39 AM