NORAFIDAH menunjukkan kucing yang dibela di rumahnya.
NORAFIDAH menunjukkan kucing yang dibela di rumahnya.
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: “Saya anggap semua kucing peliharaan seperti anak sendiri. Mereka bagaikan teman penghibur dan penyeri hidup kami sekeluarga, malah saya dan suami membahasakan diri sebagai mak dan abah kepada kucing peliharaan kami,” kata seorang pencinta kucing, Norafidah Mat Zin, 36.

Suri rumah yang memiliki 18 ekor kucing baka tempatan dan import itu sering menghabiskan masanya bersama kucing sementara menunggu anak-anaknya pulang dari sekolah.

Norafidah berkata, memiliki kucing dengan jumlah banyak hobi dikongsi bersama suaminya, Raja Abdul Mariq Raja Azidin, 40, kerana mereka berdua memang sayangkan haiwan.

“Bagi mengelak kucing membiak sehingga menimbulkan masalah lain seperti penyakit, meninggalkan rumah ketika musim mengawan dan kencing merata-rata, saya mengambil langkah memandulkan kucing itu selepas melahirkan dua atau tiga anak.

“Walaupun dianggap tidak elok kerana menyekat pembiakan haiwan itu, saya terpaksa berbuat demikian,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Katanya, kebanyakan kucing peliharaannya adalah kucing jalanan yang dibuang di kawasan taman permainan, kedai makan, pasar awam dan restoran, malah ada penduduk sekitar daerah ini membuang kucing di hadapan rumahnya sendiri.

“Ada juga yang buang di hadapan rumah tanpa memberitahu dan ada yang meminta izin. Saya akan terima kerana bimbang kucing itu akan mati kelaparan, dilanggar kenderaan atau dianiaya individu tidak bertanggungjawab.

“Tiada perasaan geli atau jijik apabila melihat kucing yang berpenyakit dan kotor. Walaupun berkudis dan berkurap, kami tetap akan membawa pulang untuk dibela dan dirawat.

“Di dalam kereta kami ada makanan kucing kerana ke mana saja kami singgah jika ternampak kucing jalanan kami akan memberi makan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Fasa 1A, Seri Manjung, di sini, kelmarin.

Menurut Norafidah, dia dan suaminya memperuntukkan perbelanjaan RM600 sebulan membeli makanan, ubat, pasir dan peralatan lain termasuk kos rawatan untuk kucing yang dibela dalam enam sangkar.

“Bukan semua orang menyukai dan tahan dengan bau kucing. Sebab itu, saya akan memperuntukkan masa sekurang-kurangnya dua jam setiap hari untuk membersihkan sangkar kucing dan menggunakan pasir untuk mengurangkan bau najisnya.

“Perasaan sayang itu sama seperti saya sayangkan anak sendiri sehingga tidak sanggup melihat ada individu yang tidak menyukai menghalau atau menyepak kucing terutama di kedai makan. Apa salahnya berikan sedikit makanan kerana kucing haiwan kesayangan nabi,” katanya.

Norafidah berkata, dia sanggup membelanjakan sehingga RM2,800 untuk membeli seekor kucing jenis Bengal dan pernah memelihara lebih 20 ekor kucing pada satu masa sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 7:06 AM