DR HILMI (kiri) melawat Pusat Kejuruteraan Tisu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
DR HILMI (kiri) melawat Pusat Kejuruteraan Tisu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kuala Lumpur: Penyelidik Pusat Kejuruteraan Tisu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menghasilkan inovasi produk kulit gantian iaitu MyDerm.

Ketua Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Ruszymah Idrus berkata, MyDerm adalah kaedah terkini bagi menghasilkan tisu atau sel manusia untuk menggantikan sel asal.

“MyDerm mampu membiak dan menghasilkan sel kulit baharu untuk mangsa kemalangan atau kebakaran dengan hanya menggunakan cebisan kecil kulit mangsa.

“Bukan itu saja, penghidap penyakit kencing manis juga boleh menggunakan kaedah ini bagi membantu pembiakan sel kulit baharu,” katanya ketika ditemui di HCTM sempena Majlis Penganugerahan MBOR di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Pengurus Besar MBR Halilia Juana Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Cell Tissue Technology Sdn Bhd (CTT) Dr Khairul Idzwan Baharin.

Ruszymah berkata, kajian klinikal MyDerm yang dilakukan pada 2013 menunjukkan kesan pemulihan yang memuaskan kepada pesakit.

“Walaupun teknologi ini masih baharu, kaedah ini boleh dikomersialkan dengan kerjasama daripada CTT yang juga anak syarikat UKM.

“Selepas ini, kami akan meneruskan penyelidikan terhadap organ manusia lain iaitu lutut yang mana sel dari sum-sum tulang disuntik ke dalam sendi lutut,” katanya.

Sementara itu, Hilmi berkata, pengiktirafan MBR menunjukkan pakar perubatan tempatan mampu mencipta perubahan baharu dalam perubatan.

“Kebiasaannya, rawatan yang digunakan bagi merawat mangsa masalah kulit adalah kaedah cantuman kulit atau Split Skin Graft.

“Dalam erti lain, mereka memperkenalkan sesuatu berbeza daripada kaedah sebelum ini bagi merawat mangsa menderita masalah kulit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 8:57 AM