DR ABDUL Kadir (empat kanan) bersama Jainab (tengah) menunjukkan kupon bernilai RM5, kelmarin.
DR ABDUL Kadir (empat kanan) bersama Jainab (tengah) menunjukkan kupon bernilai RM5, kelmarin.
Oleh Recqueal Raimi

Kota Kinabalu: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah melancarkan kupon makanan bernilai RM5 bertujuan meringankan beban penuntut di universiti berkenaan.

Rektor UiTM Sabah Datuk Dr Abdul Kadir Rosline berkata, kempen dilaksanakan melalui dua cara sama ada menggunakan kupon atau kakitangan membantu membeli makanan.

“Cara pertama ialah dengan pembelian kupon berharga RM5 di kaunter kafe yang membolehkan penuntut mendapatkan makanan tanpa had pada satu masa.

“Cara kedua adalah bantuan daripada kakitangan atau alumni UiTM membantu penuntut membeli makanan,” katanya ketika menghadiri Kempen Kami Prihatin 1+1 Meal Sempena Karnival Kolej (KARKOL) 2016 di UiTM Sabah, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA) UiTM Sabah Prof Madya Jasman Jaafar, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Sabah Awang Bakar Awang Tatam dan Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (BPJIMDA) UiTM Sabah Dr Rozita Mohammed.

Dr Abdul Kadir berkata, semua warga UiTM Sabah termasuk alumni perlu bekerjasama menjayakan kempen itu demi membantu penuntut kurang berkemampuan.

Sementara itu, Penuntut Diploma Sains Ellvera Ann Pedro, 20, berkata, dia menyokong usaha dilakukan pihak pengurusan universiti.

“Kempen ini sangat berguna kerana ramai penuntut datang daripada keluarga kurang berkemampuan dan kadang kala terpaksa melakukan kerja sambilan untuk menanggung perbelanjaan,” katanya.

Rakannya, Nurul Amira Mohammad Noor, 20, berkata, dia terpaksa berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 8:42 AM