DR Syed Hamid (tengah) beramah mesra bersama pelajar Rohingya diiringi Timbalan Presiden Humaniti Malaysia, Tahir Khan Rahat Khan (kanan) di Dewan Jalan Palembang, Rantau Panjang, Klang.
DR Syed Hamid (tengah) beramah mesra bersama pelajar Rohingya diiringi Timbalan Presiden Humaniti Malaysia, Tahir Khan Rahat Khan (kanan) di Dewan Jalan Palembang, Rantau Panjang, Klang.
Oleh Siraj Mohd Zaini


Klang: Kerajaan digesa memperkenalkan dasar dengan memberi peluang kepada golongan pelarian khususnya etnik Rohingya untuk mendapat pendidikan sewajarnya di negara ini.

Presiden Humaniti Malaysia Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berkata, sehingga kini, golongan terbabit tidak dibenarkan untuk bersekolah sebelum akhirnya terjerumus dengan pelbagai gejala negatif yang memberi imej buruk kepada negara.

“Jika kita hendak tempatkan mereka di negara ketiga sekalipun, mereka dikehendaki mempunyai pelajaran.

“Sebagai contoh di Amerika Syarikat, Eropah dan Arab Saudi yang mempunyai ramai pelarian, mereka diberikan kewarganegaraan kerana terpelajar.

“Saya bimbang jika mereka tidak buat apa-apa, mereka minta sedekah, terbabit dengan jenayah dan dadah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan kepada pelajar madrasah Rohingya di sini, semalam.

Seramai 261 pelajar Rohingya dari empat madrasah di sekitar daerah ini menerima bantuan asas termasuk beg sekolah.

Syed Hamid berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu sekurang-kurangnya membenarkan mereka bersekolah dan menggunakan kurikulum negara ini supaya golongan itu ada masa depan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Wakil Khas Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke Myanmar berkata, sehingga kini, lebih 55,000 pelarian Rohingya di negara ini berdaftar dengan Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menganggarkan terdapat lebih 130,000 pelarian Rohingya termasuk yang tidak berdaftar dan ia satu angka yang besar.

“Jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana ada antara pelarian berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Saya harap kerajaan dapat mempelajari dasar yang dilakukan di Eropah, sebab mereka mempunyai susunan untuk pelarian yang lebih teratur.

“Kalau kita nak berikan peluang kerja, lebih baik berikan mereka kerja, tidak perlu bawa masuk orang luar, yang ada di sini, tidak boleh dihantar ke mana-mana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:11 AM