ANGGOTA SPRM mengiringi pegawai dan anggota polis di Mahkamah Majistret Seremban.
ANGGOTA SPRM mengiringi pegawai dan anggota polis di Mahkamah Majistret Seremban.

Seremban: Rampas, jual dan lupus. Itu strategi tiga individu termasuk seorang pegawai polis yang ditahan selepas disyaki menjadi dalang utama sindiket pelupusan kereta klon di negeri ini, kelmarin.

Mereka terdiri pegawai polis berpangkat asisten superintendan berusia 36 tahun dan dua anggotanya berpangkat koperal serta konstabel masing-masing berusia 27 dan 54 tahun.

Difahamkan, semua mereka bertugas di Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod (D4) menjalankan kerja haram berkenaan sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, aktiviti ketiga-tiga mereka tidak berpanjangan apabila dihidu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri sebelum ditahan, kelmarin.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai bersubahat dengan sindiket terutama kes berkaitan kereta curi sebelum menyerahkan kenderaan itu untuk mendapatkan alat ganti.

“Mereka dilaporkan menyerahkan kereta curi dirampas dalam serbuan kepada bengkel milik sindiketnya untuk mengambil alat ganti sebelum melupuskannya.

“Selain itu, sekiranya suspek merampas kereta klon, mereka tidak membuat laporan, sebaliknya menyerahkan kepada sindiket sama untuk dijual,” katanya.

Malah, katanya, kegiatan dilakukan pegawai dan anggota terbabit bukan percuma sebaliknya menerima bayaran RM1,500 setiap bulan daripada sindiket berkenaan.

Kata sumber lagi, SPRM menerima maklumat dan risikan dilakukan sebelum ketiga-tiga suspek ditahan di sebuah restoran di Temiang, di sini, ketika berurusan dengan sindiket itu kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Beliau berkata, hasil penahanan itu, SPRM merampas wang tunai RM1,500 dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat SPRM, di sini.

“Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk direman hari ini (semalam). Manakala seorang lagi anggota berpangkat konstabel dibebaskan dengan jaminan.

“Mahkamah Majistret kemudian membenarkan kedua-dua mereka direman tujuh hari sehingga 23 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 9:02 AM