AHMAD Taufek (kiri) memeriksa lokasi kejadian.
AHMAD Taufek (kiri) memeriksa lokasi kejadian.

Kota Bharu: Lelaki berusia 24 tahun cedera parah terkena sedas tembakan dalam kejadian di Kampung Pauh Lima di sini, jam 12.30 tengah malam kelmarin, ketika membonceng motosikal ditunggang adiknya yang berumur 20 tahun untuk pulang ke rumah mereka.

Mangsa datang dari arah Peringat menuju ke rumah mereka di Bukit Temelong, Gunong, Bachok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Ahmad Taufek Abdullah berkata, tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dihampiri dari belakang oleh dua lelaki yang turut membonceng sebuah motosikal.

“Pembonceng motosikal terbabit melepaskan dua das tembakan dengan menggunakan pistol buatan sendiri dari jarak dua meter ke arah mangsa dan satu daripada tembakan terkena belakang badan mangsa.

“Adik mangsa membawanya ke Klinik Kesihatan Gunong sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains (HUSM) Kubang Kerian. Keadaan mangsa dilaporkan stabil,” katanya pada sidang media di Balai Polis Binjai, semalam.

Beliau berkata, sebaik menembak mangsa, suspek berpatah balik menuju ke arah Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:12 AM