Mohamad Zabidi  (dua dari kanan), menyampaikan sijil penghargaan kepada pesara ketika Majlis Pelancaran Perkhidmatan kaunter 1Pesara di Lobi Menara DBKL sambil disaksikan Mhd Amin  (kanan).
Mohamad Zabidi (dua dari kanan), menyampaikan sijil penghargaan kepada pesara ketika Majlis Pelancaran Perkhidmatan kaunter 1Pesara di Lobi Menara DBKL sambil disaksikan Mhd Amin (kanan).
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: Pesara sektor awam di sekitar Lembah Klang tidak perlu lagi membazir waktu dan kos perjalanan untuk menyelesaikan urusan persaraan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya berikutan wujudnya Kaunter 1Pesara JPA di ruang legar menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, perkhidmatan kaunter itu adalah yang kedua, selepas di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya dan akan diperluaskan ke seluruh negara dari semasa ke semasa.

“DBKL adalah agensi pertama yang dipilih untuk menempatkan Kaunter 1Pesara JPA berikutan adanya kaunter perkhidmatan 1 Malaysia Customer Service of Civil Servants (1Serve) yang dilancarkan Oktober tahun lalu.

“Semua urusan berkaitan adalah berkonsepkan pelbagai tugas dan dikendalikan petugas DBKL dan JPA sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Perkhidmatan Kaunter 1Pesara JPA di Menara DBKL, semalam.

Menurut Mohamad Zabidi, pembukaan kaunter di Menara DBKL itu melakar sejarah tersendiri berikutan julung kalinya JPA berkolaborasi dengan agensi lain untuk menawarkan perkhidmatan teras di luar pejabat JPA.

“Kaunter 1Pesara JPA@DBKL ini menawarkan 10 kemudahan untuk pesara, antaranya permohonan kelulusan Pembiayaan Dialisis, permohonan Tuntutan Bayaran Balik Peralatan Perubatan atau Ubat atau Rawatan, permohonan Tuntutan Perjalanan bagi tujuan rawatan perubatan, semakan status persaraan, permohonan Pencen Terbitan bagi Kematian dalam Persaraan dan permohonan Pertukaran Skim B ke Skim A.

“Selain itu, pesara juga boleh memohon Kad Pesara (gantian kad lama, rosak, hilang atau pindaan maklumat), pertukaran akaun bank, permohonan Bantuan Mengurus Jenazah dan permohonan Pendaftaran Anak Kurang Upaya,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, kerjasama antara Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (JPSM) dengan JPA dalam menawarkan perkhidmatan kaunter kepada pesara awam di sekitar Lembah Klang adalah inisiatif tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 6:46 AM