KAKITANGAN PERHILITAN menjejaki buaya tembaga.
KAKITANGAN PERHILITAN menjejaki buaya tembaga.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Selepas hampir seminggu usaha menangkap buaya tembaga yang dikatakan tersesat di parit di Kampung Cempaka di sini, dilakukan, ia seakan menemui jalan buntu apabila reptilia berkenaan seolah-olah tidak hairan dengan umpan diberikan.

Tindakan orang ramai yang sering mencampakkan makanan ke parit itu dipercayai menjadikan buaya terbabit kenyang dan tidak aktif.

Malah tinjauan dilakukan mendapati kawasan tepi parit itu tidak ubah seperti pesta apabila orang ramai memenuhi kawasan berkenaan bagi melihat buaya dengan lebih dekat.

Ada yang ‘bermurah hati’ mencampakkan makanan seperti kulit ayam untuk santapan sang bedal itu, tidak kurang juga yang bersorak apabila ia memakan makanan yang diberikan.

Ketua Kampung Cempaka Mat Lazim Kadir berkata, kemunculan buaya di parit berkenaan bukan sesuatu yang baru kerana sebelum ini beberapa reptilia terbabit turut pernah ditemui di situ.

“Walaupun buaya itu tidak mengancam penduduk namun tindakan orang ramai terutama kanak-kanak yang berada terlalu hampir di tebing parit boleh mengundang bahaya.

“Malah mereka juga memberi haiwan itu makan untuk mengumpannya supaya timbul di permukaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang Datuk Khairiah Mohd Shariff berkata, pihaknya cuba menangkap buaya terbabit sejak Ahad lalu dengan umpan kulit ayam dan perangkap.

“Tidak seperti sebelum ini, buaya ini kelihatan tidak aktif sejak beberapa hari lalu, mungkin ia agak kekenyangan berikutan orang ramai gemar mencampakkan makanan kepadanya.

“Walaupun pelbagai teknik digunakan untuk menariknya ke dalam perangkap, ia tidak timbul di permukaan sekali gus menjadikan usaha untuk menangkapnya menemui jalan buntu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menggandakan usaha untuk menangkap buaya itu secepat mungkin.

“Kami harap orang ramai tidak memberi buaya itu makan bagi memastikan ia lapar serta kembali aktif seterusnya memudahkan ia ditangkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:09 AM