Gambar kiri, kereta Hot Wheels yang belum diubah suai. Gambar kanan, kereta mainan yang mendapat sentuhan rustik.
Gambar kiri, kereta Hot Wheels yang belum diubah suai. Gambar kanan, kereta mainan yang mendapat sentuhan rustik.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Mengubah corak dan tema kereta mainan berjenama mahal mungkin dianggap sebagai kerja gila dan tidak mendatangkan faedah bagi sesetengah orang.

Bagaimanapun, berbeza bagi Mohamad Raimi Mohd Rosli, 28, dari Seberang Prai, Pulau Pinang, apabila hobinya sejak kecil itu ditukar kepada perniagaan yang menampilkan karya seni dengan cara tersendiri mengikut kreativiti dan tema bersesuaian.

Bermula pada 2012, dia yang meminati ciri rustik diterapkan pada robot mainan jenama Gundam dari Jepun yang dibuat berkonsepkan kematian atau kemusnahan, mula mendapat idea untuk menerapkan konsep itu kepada kenderaan Hot Wheels yang dikumpulnya.

Pada peringkat awal Mohamad Raimi hampir berputus asa apabila kerja mengubah suai kereta mainan berkenaan sehinggalah kepada proses mewarnakan semula semuanya gagal, namun perjalanannya tidak terhenti di situ saja.

“Saya mula merujuk laman web dari Jepun dan mempraktikkan ilmu berkenaan bagi menjadikan cita-cita saya tercapai.

“Walaupun laman web itu menunjukkan cara penggubahan robot, namun caranya agak sama apabila diterapkan kepada kereta mainan yang saya kumpul,” katanya.

Mohamad Raimi berkata, kerjaya seninya itu kini membuka mata umum apabila dia memiliki rangkaian peminat Hot Wheels tempahan khas bukan saja di Malaysia, malah dari seluruh dunia terutamanya negara Asia seperti Jepun, Indonesia, Brunei, Filipina termasuk dari Eropah.

“Kebanyakan peminat kereta di sekitar rantau Asia amat tertarik dengan konsep karya seni yang saya persembahkan.

“Malah pada 2014, kerjaya saya sebagai pembuat tempahan khas diiktiraf penganjur Indonesia dalam pertandingan Hot Wheels Competition Diecast Indonesian Expo apabila mendapat naib johan mengalahkan lebih 100 peserta dari seluruh Asia,” katanya.

Menurut Mohamad Raimi, proses mengetuk, menebuk dan melunturkan warna asal kenderaan itu semuanya dilakukan sendirian.

Katanya, pelbagai cara digunakan dalam menghasilkan karya bermutu malah dia pernah ‘melenyek’ kenderaan mainan itu menggunakan kereta miliknya.

Kerja memproses, mengubah suai dan menghias jentera kereta berkenaan menjadi ‘rustic’ (ringkas dan menarik) dilakukan dan kebanyakan aksesori hiasan menggunakan produk yang diimport dari Jepun.

“Khususnya rumput di mana ia memang sukar didapati di pasaran Malaysia, sehingga saya terpaksa mengimportnya dari Jepun.

“Selepas proses mengetuk dan melusuhkan keadaan kenderaan itu, barulah kerja mewarnakan dan menghias jentera terbabit bagi menampakkan ia seperti terbuang dimulakan.

“Proses membuat setiap set seperti ini tidak lama dan kadangkala mengikut ‘mood’ dan idea yang ada. Kadangkala dalam sehari saya mampu menyiapkan antara satu hingga tiga set kenderaan mainan,” katanya.

Ditanya mengenai harga pula, Mohamad Raimi berkata, harga yang ditawarkan adalah sekitar RM200 sehingga RM1,500 bergantung pada jenis kenderaan berikutan ada antaranya amat sukar diperoleh.

“Semua kereta mainan saya gunakan dalam seni saya 100 peratus jenama Hot Wheels, malah ada antara barangan terbabit bernilai hampir RM1,000 hanya untuk kereta saja tidak termasuk seni menggubahnya.

“Pernah seorang pengumpul tegar kereta jenama ini datang ke premis saya dan menangis teresak-esak apabila melihat salah sebuah kereta yang sukar diperoleh telah ‘dijahanamkan’ oleh saya,” katanya yang mempunyai premis perniagaan di Taman Pauh, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Menurutnya, bagi peminat jenama kereta mainan yang inginkan kelainan terhadap koleksi mereka, bolehlah melawat laman Facebook RAIMI KUSTOMZ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:10 AM