Norieen (kiri) dan  Miksudiar bersama ahli keluarga  di HRPZII.
Norieen (kiri) dan Miksudiar bersama ahli keluarga di HRPZII.
Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Hampir sebulan tidak mendaftar untuk sesi persekolahan tahun ini, dua kanak-kanak Orang Asli yang ditemui selamat selepas hilang selama 47 hari dalam kejadian Ogos lalu, dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk menjalani rawatan psikiatri.

Dua kanak-kanak itu, Norieen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, dihantar ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HRPZ II, sejak semalam untuk rawatan memulihkan tekanan dihadapi akibat insiden kehilangan itu dan kematian tragik lima rakan mereka.

Mereka menerima rawatan selama empat jam bermula 9 pagi dengan semua urusan penghantaran diselenggara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Difahamkan, mereka perlu menjalani beberapa siri rawatan bagi memastikan benar-benar pulih daripada trauma itu.

Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu Nik Man Nik Ya berkata, pihaknya bertanggungjawab untuk sentiasa memantau perkembangan kesihatan murid terbabit termasuk memenuhi semua rawatan susulan di HRPZ II.

“Walau fizikal mereka semakin sihat, rawatan susulan menghilangkan trauma masih berterusan dan kita akan usahakan sehingga mereka boleh menyesuaikan diri.

“Buat masa ini, keluarga kedua-duanya sudah bersetuju untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis dan tidak mahu meneruskan persekolahan di SK Tohoi.

“Namun, mereka masih lagi diberi pengecualian untuk mendaftar sehingga kedua-duanya pulih,” katanya.

Nik Man berkata, Miksudiar memaklumkan dia mahu kembali bersekolah kerana rindukan suasana belajar, namun enggan kembali ke SK Tohoi, manakala Norieen pula memaklumkan akan kembali terkenang kejadian lampau sekiranya kembali ke sekolah lamanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan tujuh murid Orang Asli hilang di hutan dekat Pos Tohoi selepas melarikan diri dari asrama SK Tohoi, pada 23 Ogos tahun lalu.

Namun, selepas 47 hari usaha mencari dan menyelamat dijalankan, pasukan keselamatan menemui lima mangsa dalam bentuk mayat dan rangka, tetapi Miksudiar dan Norieen dijumpai selamat dalam keadaan menyayat hati.

Rakan mereka yang mati adalah Linda Rosli, 8, Juvina David, 7, Ika Ayel, 9 dan Haikal Yaakob, 8, manakala seorang lagi yang masih hilang adalah Sasa Sobrie, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 10:15 AM