DR Vida meninjau keadaan Stadium Sultan Muhammad IV.
DR Vida meninjau keadaan Stadium Sultan Muhammad IV.
Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Penukaran wajah baru Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, kepada warna merah jambu dianggap tepat pada masanya dalam usaha menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan Mohd Faizul Zakaria berkata, idea penaja utama Kelantan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida itu bukan saja memulihkan ‘wajah’ stadium keramat Che Siti Wan Kembang, tetapi juga memberi nafas baru kepada industri pelancongan di negeri ini.

Katanya, ia sekali gus dapat membantu Kelantan mencapai sasaran enam juta pelancong sempena TMK 2016.

“Bola sepak mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan masyarakat dunia, jadi saya lihat penukaran stadium kepada warna merah jambu memberi kesan besar sebagai tarikan baru pelancongan di Kelantan.

“Malah, saya lihat tindakan ini dapat menjana ekonomi negeri kerana orang ramai datang sendiri untuk tengok stadium seperti Stadium Old Trafford digunakan pasukan Manchester United (MU),” katanya ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama media, di sini, kelmarin.

Mohd Faizul berkata, pihaknya sedia bekerjasama dari segi promosi sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ataupun penaja mahu menyenaraikan stadium itu sebagai produk pelancongan di Kelantan disamping produk pelancongan lain seperti Air Terjun Jelawang, Dabong, Kuala Krai dan Bunga Rafflesia di Lojing, Gua Musang.

“Melalui tarikan stadium, secara tidak langsung pelancong mengenali Kelantan lebih dekat.

“Jenama The Red Warriors yang kini dikenali dengan nama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW)adalah jenama yang kuat dalam arena bola sepak Malaysia, jadi dengan kekuatan itu, saya yakin Kelantan yang terkenal dengan kebudayaan dan makanan selama ini dapat menawarkan lebih banyak produk pelancongan pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:13 AM