DR KASSIM menunjukkan Qiblatain yang dicipta untuk menentukan arah kiblat dengan lebih cepat.
DR KASSIM menunjukkan Qiblatain yang dicipta untuk menentukan arah kiblat dengan lebih cepat.
QIBLATAIN
QIBLATAIN
DR Kassim menunjukkan risalah berkenaan Qiblatain.
DR Kassim menunjukkan risalah berkenaan Qiblatain.
Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka: Proses menentukan kiblat yang sebelum ini memerlukan peralatan mengukur yang rumit kini menjadi lebih mudah menggunakan Qiblatain iaitu produk hasil inovasi Jabatan Mufti negeri.

Menerusi Qiblatain, proses menentukan arah kiblat yang tepat tidak lagi memerlukan penggunaan peralatan seperti Teodolit sebaliknya hanya perlu menggunakan penanda laser dan Tongkat Istiwa.

Peralatan itu adalah hasil inovasi Ketua Bahagian Falak Kompleks Al-Khawarizmi Dr Kassim Bahali yang turut mengungguli Anugerah Inovasi pada Expo Inovasi Islam ke-6 2015 (I-Inova), tahun lalu.

Menurut Dr Kassim, peralatan itu mempunyai dua fungsi iaitu penanda laser yang memudahkan tugas menanda arah kiblat di dalam bangunan seperti bilik hotel, pejabat, ruang solat dan kediaman.

“Penggunaan penanda laser yang sudah dilaras memudahkan lagi proses menentukan arah kiblat, ia amat ringkas dan pengendalinya pula hanya perlu memastikan penanda itu mengikut arah yang ditetapkan.

“Qiblatain juga dilengkapi dengan fungsi Tongkat Istiwa yang digunakan untuk menentukan azimut kiblat bagi pembinaan surau atau masjid baharu.

“Sebelum ini, kerja menentukan arah kiblat menggunakan peralatan Teodolit, namun saya mencipta satu alat yang kompak, mudah dibawa dan hanya perlu dikendalikan seorang individu saja,” katanya.

Dr Kassim berkata, Qiblatain sudah digunakan sejak dua tahun lalu untuk membantu proses menentukan arah kiblat di beberapa lokasi pembinaan surau dan masjid baharu di negeri ini.

Beliau berkata, alat itu direka berikutan pihaknya mengambil masa lama dan memerlukan tenaga manusia yang ramai ketika melakukan proses menentukan arah kiblat menggunakan peralatan Teodolit.

“Memandangkan kami banyak menerima tempahan khidmat menentukan arah kiblat di dalam bilik hotel di negeri ini, akhirnya jabatan mencari jalan bagi menyelesaikan isu bagaimana untuk menjimatkan masa dan mendapatkan arah kiblat yang tepat,” katanya.

Apa yang membanggakan pihaknya turut menerima tempahan daripada jabatan mufti di beberapa negeri lain yang berminat untuk menggunakan produk inovasi dihasilkan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:12 AM