KA Siong (tengah) bersama pengunjung belia di Johor Career & Postgraduate Expo di KSL City Mall.
KA Siong (tengah) bersama pengunjung belia di Johor Career & Postgraduate Expo di KSL City Mall.

Johor Bahru: Banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan boleh diisi graduan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dengan syarat mereka tidak terlalu selektif dan mementingkan soal gaji semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, golongan berkenaan seharusnya bersikap lebih realistik dan menyedari hakikat bahawa kebanyakan majikan cenderung mengambil pekerja yang berpengalaman berbanding kelulusan akademik semata-mata.

Beliau berkata, berikutan itu, graduan lepasan IPT perlu berusaha memperbaiki kemahiran interpersonal dan meningkatkan produktiviti diri supaya mendapat tempat dalam pasaran kerja.

“Senario kini menunjukkan lebih empat juta warga asing bekerja di negara ini malah sebahagian besar daripada mereka berpendapatan lebih RM1,000 sebulan dan ada yang kini membuka perniagaan seperti pusat mencuci kenderaan.

“Jadi, tiada alasan untuk orang tempatan terutama graduan lepasan IPT mendapat pekerjaan lebih baik berbanding warga asing. Namun, apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila lepasan IPT ini terlalu mementingkan soal gaji sedangkan pengalaman lebih penting.

“Kerana itu, graduan perlu memahami pasaran pekerjaan dan kehendak majikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Lepasan Graduan dan Kerjaya Johor kali Keempat di KSL Mall di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan PenExpo merangkap penganjur program Francis Wong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:30 AM